Bekerja 15 tahun tanpa gaji
KUCHING - Dua beradik dari Serian, dekat sini, yang mendakwa bekerja tanpa gaji selama 15 tahun di sebuah kilang kuih pau di Puchong, Selangor, akhirnya berhenti kerja dan kembali ke Sarawak.
Sejak Radin anak Bangan, 31, dan adiknya Simon, 30, meninggalkan keluarga ketika masing-masing berumur 16 dan 15 tahun, mereka tidak diberi peluang berhubung dengan keluarga di Kampung Antayan.
“Kami bekerja di sebuah kilang membuat pau di sebuah kawasan terpencil dekat Puchong dan tidak pernah mendapat gaji, walaupun makan dan tempat tinggal kami ditanggung majikan,” kata Radin kepada pemberita, di sini, semalam.
Katanya, ada dua lagi pekerja dari Sarawak dan tiga dari Perak bekerja di kilang berkenaan.
"Pada 1995, kami dibawa ke Puchong oleh sebuah syarikat ejen pekerja tempatan dengan tawaran gaji RM2,000 sebulan.
"Oleh kerana tidak tahan bekerja tanpa gaji, saya dan adik saya bertekad untuk balik kampung pada Februari lalu, dan semua kos ditanggung majikan," katanya.
Bapanya, Bangan anak Jelian, 60, berkata, walaupun majikan menanggung tiket penerbangan balik ke Sarawak untuk kedua-dua anaknya, tetapi itu masih tidak memadai dengan kerja yang dibuat Radin dan Simon selama 15 tahun.
"Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana dapat berjumpa semula dengan anak-anak setelah 15 tahun berpisah.
“Kepulangan mereka adalah rahmat kepada seluruh keluarga saya sempena sambutan Hari Gawai minggu depan,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment