Mangsa samun dihentak pencakar besi
2010/05/20
ALOR SETAR: Seorang lelaki tua cedera di kepala akibat dihentak dengan pencakar ketika bergelut dengan tiga lelaki yang menyamun rumahnya dan melarikan barang kemas serta wang tunai kesemuanya berjumlah RM52,000 di Kampung Titi Haji Idris, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Kasim Ahmad, 72, dan isteri, Asmah Omar, 66, yang sedang tidur dikejutkan oleh bunyi bising pintu belakang rumahnya sebelum mendapati pintu biliknya ditolak dan dihentak.Menyedari rumahnya dimasuki penjenayah, mangsa bersama isteri menahan pintu bilik bagi menghalang suspek masuk namun gagal hingga menyebabkan berlaku pergelutan.Suspek dipercayai memasuki rumah itu dengan memotong pagar menggunakan pemotong besi sebelum menggunakan cara sama pada jeriji besi di pintu dapur rumah mangsa. Mereka kemudian menghentak pintu dengan tong gas sebelum menyerang mangsa dan menggeledah rumah berkenaan.
Kasim berkata, selepas gagal menahan pintu biliknya dari dipecah tiga lelaki bertopeng itu beliau berjaya menyelinap keluar dan bergelut dengan dua daripada tiga suspek.
"Ketika bergelut saya diserang bertubi-tubi tetapi sempat menolaknya hingga jatuh.
"Ketika itu juga tanpa disedari kepala saya dihentak dengan pencakar menyebabkan muka saya berlumuran darah.
"Kemudian tiga penyamun itu mengikat kaki dan tangan saya dengan wayar kabel di luar bilik manakala isteri yang berada di dalam bilik juga diikat dengan cara sama. Mereka juga mengugut kami menggunakan pisau," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Selain itu, Asmah berkata, suspek mengugut akan membunuh dia dan suaminya jika terus melawan sambil bertanya tempat kami menyimpan wang.
"Mereka menggeledah keseluruhan bilik kami dan membawa lari wang tunai yang saya simpan di bawah katil," katanya.
No comments:
Post a Comment