NIBONG TEBAL 19 Mei - Penduduk sekitar Kampung Kepala Gajah di sini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran sisa buangan najis babi dari sebuah ladang ternakan haiwan itu yang beroperasi berhampiran kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa, operasi di ladang ternakan itu menyebabkan kawasan sekitar perkampungan yang diduduki majoriti masyarakat Melayu itu mengalami pencemaran bau yang serius terutamanya selepas waktu petang.
Menurut mereka, tindakan segera wajar diambil kerana masalah bau busuk di kawasan itu sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun penduduk sudah banyak kali mengajukan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Keadaan menjadi lebih buruk pada musim hujan apabila sistem perparitan yang tidak sempurna di kampung itu menyebabkan banjir membawa bersama sisa kumbahan berkenaan melimpah ke rumah penduduk.
Salah seorang penduduk, Osman Darus berkata, masalah itu bukan sahaja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian tetapi dikhuatiri akan mengancam kesihatan penduduk dalam tempoh jangka masa panjang.
"Pada masa ini pun sudah ada penduduk yang mengadu sering sesak nafas kerana bau dari ladang tersebut terlalu busuk, kadang-kadang kita hendak makan pun hilang selera.
"Penduduk kampung sudah lama bersabar ekoran aduan demi aduan yang diajukan kepada pihak berkuasa umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng di sini baru-baru ini.
Osman berkata, penduduk kampung juga terpaksa mengharungi saat meloyakan apabila banjir yang membawa sisa buangan najis babi melimpah masuk ke rumah mereka.
Seorang peniaga di kampung itu, Mohd. Subakir Remun, 52, pula berkata, masalah bau busuk semakin menjejaskan perniagaan kedai makan miliknya apabila sering menerima rungutan daripada para pelanggan.
"Kami minta agar pemilik ladang sensitif dan memahami masalah ini kerana perkara ini bukan perkara baru malah sudah dibangkitkan sejak lebih 20 tahun. Ia sudah jadi beban sehingga hendak berniaga pun susah," katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak 40 tahun lalu.
Pandangan itu disokong seorang lagi penduduk, Ahmad Shaari, 57, yang berpendapat, sistem pengairan sedia ada perlu diubah bagi memastikan sisa-sisa kumbahan najis dari ladang tersebut dialihkan ke tempat lain.
Menurutnya, masalah sistem pengairan dan perparitan yang tidak sempurna di kawasan itu memburukkan lagi keadaan terutamanya pada musim hujan yang menyebabkan banjir kilat.
Sementara itu, Tee Beng berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik ladang itu, Ong Chin Hee yang bersetuju untuk membersih dan mendalamkan sistem perparitan di kawasan tersebut.
Selain itu, Chin Hee juga bersetuju untuk mengalihkan sistem saliran sedia ada bagi membolehkan air sisa kumbahan najis dari ladangnya boleh dialihkan ke tempat lain.
"Tetapi perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri supaya meluluskan agar sisa kumbahan sedia ada disalurkan ke tempat lain," jelasnya.
No comments:
Post a Comment