Pengunjung gempar jumpa buaya MELAKA - Hasrat satu keluarga bergembira sempena hari keluarga tahunan di pantai peranginan Pengkalan Balak tidak kesampaian apabila mereka terserempak dengan dua ekor buaya di pantai berkenaan, petang semalam. Kejadian mengemparkan itu berlaku jam 2.45 petang, sekali gus membantutkan hasrat keluarga berkenaan yang berasal dari Kampung Umbai, di sini, meneruskan aktiviti dirancang Salah seorang peserta program berkenaan, Norfadilah Mohd Baroldin, 22, berkata, salah satu buaya yang dilihatnya itu bersaiz dalam anggaran hampir empat meter panjang. Menurutnya, penemuan mencemaskan itu sempat dirakamkannya menerusi telefon bimbit berkamera miliknya sebelum buaya itu turun semula ke laut. “Kami lihat, seekor daripada buaya bersaiz kecil dan kuning keemasan, sementara seekor lagi bersaiz besar serta berwarna kehitaman muncul kira-kira 10 minit di atas daratan. “Mungkin, keduanya-duanya mempunyai pertalian ibu dan anak,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan, semalam. Norfadilah berkata, kejadian itu sememangnya amat mencemaskan mereka sekeluarga yang datang seramai 30 orang. “Kami tiba di sini Jumaat dan bercadang mengadakan pelbagai aktiviti di sini sehingga Ahad (hari ini) tetapi tidak sangka pula terserempak dengan buaya. “Kejadian ini menyebabkan kami sekeluarga takut untuk mandi di pantai ini kerana bimbang keselamatan diri,” katanya. Berikutan kejadian itu, Norfadilah segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). “Namun, mereka tidak dapat bertindak apa-apa berikutan buaya berkenaan terus menghilang setelah itu,” katanya. Dalam pada itu, beberapa penduduk di kawasan berkenaan mendakwa sering ternampak kelibat buaya di pantai itu yang dikatakan hanya satu kilometer jaraknya dari Kompleks Perahu Layar iaitu lokasi utama acara pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13, 10 Jun ini. Mazli Mohamad, 42, berkata, keadaan itu dibimbangkan boleh menjejaskan kelancaran sukan itu nanti sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah sewajarnya. “Saya berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang kerana khuatir terhadap aspek keselamatan peserta dan pengunjung di pantai ini,” katanya. |
Sunday, May 16, 2010
Awas ! buaya kat pantai pengkalan balak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
hahaha... my family ni
ReplyDelete