Sunday, May 16, 2010

Duit dalam bank tak selamat lagi


Wang dalam akaun lesap



AHMAD Nor Dun menunjukkan laporan polis berhubung kejadian wang lesap dalam akaun simpanannya, di Temerloh, semalam. – MINGGUAN/Ali MahmooD


TEMERLOH 15 Mei – Seorang pegawai tentera mendakwa kerugian RM13,000 apabila wang yang disimpan dalam akaun bank, lesap setelah disyaki dicuri melalui perbankan Internet.
Mangsa, Ahmad Nor Dun, 39, berkata, hasil pemeriksaan mendapati wangnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga di luar negara.
Katanya, dia mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh pegawai di bank berkenaan yang terletak di Mentakab.
“Pada mulanya saya ingin mengeluarkan wang di bank itu pada 4 Mac lalu. Bagaimanapun kad ATM (mesin juruwang automatik) saya rosak dan perlu ditukar baru.
“Apabila selesai urusan penukaran kad, saya membuat semakan akaun dan mendapati wang RM13,000 saya telah hilang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Bapa kepada lima anak itu lalu berjumpa dengan seorang kakitangan di bank berkenaan untuk penjelasan.
Namun alangkah terkejutnya apabila dia diberitahu bahawa wangnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga di luar negara.
“Pegawai bank itu menasihatkan saya agar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin iaitu cawangan bank tempat saya membuka akaun.
“Melihat kepada penyata bank berkenaan, wang itu telah dikeluarkan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang 24 jam melalui perbankan Internet,” katanya.
Menurutnya, penjenayah itu juga turut membuat bayaran urusan Internet berjumlah RM200 dengan menggunakan wang daripada akaunnya.
Ahmad Nor berkata, dia hairan kerana tidak pernah mendaftar untuk penggunaan perbankan Internet tetapi wangnya dicuri menggunakan kaedah itu.
Dia juga mempersoalkan tahap keselamatan pihak bank dalam menjaga wang simpanannya kerana gagal menyekat transaksi itu daripada berlaku.
“Setahu saya untuk memindahkan wang melalui perbankan Internet tidak melebihi RM3,000 sehari... Bagaimana ia boleh dipindahkan melebihi had dengan begitu mudah sekali,” kata Ahmad.
Beliau memberitahu, wangnya itu adalah pinjaman Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) untuk melangsaikan hutangnya.
Ahmad Nor yang bertugas sebagai Pegawai Waran 2 di Kem Batu 3 Mentakab, terpaksa membayar balik ansuran pinjaman sebanyak RM960 sebulan selama dua tahun.
“Saya membuat pinjaman RM20,000 daripada Koperasi Tentera pada 28 Mac lalu bertujuan untuk menutup baki pinjaman lama berjumlah RM7,000 daripada koperasi yang sama.
“Manakala baki RM13,000 untuk perbelanjaan termasuk membayar hutang rakan-rakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment