Wednesday, May 19, 2010

Mahkamah jatuh hukum hari ini





Bung Mokhtar bersama Zizie Izzette meninggalkan pekarangan mahkamah selepas keputusan kes ditangguhkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat, dekat Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Mei - Kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isterinya, pelakon, Zizie Izette menjurus kepada kesalahan prosedur perkahwinan bukan jenayah.
Tindakan dua orang abang dan seorang adik lelaki pelakon itu bersama dua rakan Bung Moktar menjadi wali serta saksi pula adalah untuk mengelakkan berlakunya maksiat.
Oleh yang demikian, kesemua mereka memohon agar dikenakan bon berkelakuan baik atau denda yang minimum berbanding hukuman penjara.
Itu merupakan antara rayuan yang dikemukakan oleh pasangan itu dan saksi-saksi kepada pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini hari ini.
Kesemua mereka mengemukakan rayuan tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan masing-masing ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 20 April lalu.
Bagaimanapun, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menangguhkan sehingga esok untuk menjatuh hukuman bagi membolehkannya meneliti rayuan dan hujah pihak pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh dua pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zusyafarain Yusof dan Shafezan Rosli. Kesemua tertuduh diwakili peguam syarie, Amli Embong.
Bung Moktar atau nama sebenar, Moktar Radin, 51, menghadapi tuduhan berpoligami dengan Zizie tanpa kebenaran mahkamah.
Zizie atau nama penuhnya Zizie Izette A. Samad, 32, pula didakwa bernikah dengan suaminya tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Daerah Gombak Timur.
Pasangan itu juga mengaku saling bersubahat antara satu sama lain dalam majlis pernikahan pada pukul 8.50 malam, 16 Disember tahun lalu di sebuah rumah beralamat No. 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati dekat sini.
Pada majlis pernikahan itu, Bung Moktar memberikan mas kahwin RM80, wang hantaran RM31,000 dan sebentuk cincin berlian serba satu.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 124 dan Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang memperuntukan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika bernikah dengan pemegang watak utama drama 'Aduhai Esah', Bung Moktar mempunyai seorang lagi isteri, Datin Nor Asidah Alimudin yang dikahwininya sejak 24 Ogos 1991.
Hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama selama 19 tahun, Bung Moktar dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Khairulnizam, Mohd Kurniawan Naim, Nor Khairunisah dan Nur Safurah.
Abang Zizie yang juga wali pada majlis perkahwinan itu, Datuk Ahmad Shahazmi, 42, bersama dua lagi adiknya, Samzy Fuzette, 34, dan Shaheizy Sam, 28, mengaku bersubahat dengan adik ipar mereka yang berpoligami tanpa kebenaran pada masa, hari dan tempat yang sama.
Turut mengaku bersalah atas tuduhan sama ialah dua rakan Bung Moktar iaitu Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56.
Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 134 enakmen sama yang turut membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ahmad Shahazmi, Samzy Fuzette dan Shaheizy Sam, masing-masing turut menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan.
Ahli perniagaan itu dituduh mengakad nikah adik perempuannya itu tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Daerah Gombak Timur manakala Samzy Fuzette dan Shaheizy Sam pula didakwa bersuhabat dengan abang mereka dengan menjadi saksi.
Sementara itu, pihak pendakwaan membantah kesemua tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik kerana mahkamah perlu mengutamakan kepentingan ummah berbanding peribadi.
Hukuman yang bakal dikenakan perlu mengangkat martabat undang-undang syariah agar ia digeruni, tegas pihak pendakwaan.
Oleh itu, mereka memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada kesemua tertuduh tetapi juga kepada masyarakat agar kesalahan itu tidak menjadi ikutan.
Prosiding hari ini juga menarik perhatian sekumpulan wanita daripada gabungan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan demonstrasi aman di perkarangan mahkamah seawal pukul 8.20 pagi.
Demonstrasi itu diadakan kerana mereka tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar berpoligami tanpa melalui prosedur yang sepatutnya.
Bung Moktar bagaimanapun tidak menghiraukan kumpulan itu yang dilihat beria-ia cuba mengambil perhatiannya dengan menggoyang-goyangkan sepanduk masing-masing.
Salah seorang daripada ahli kumpulan itu juga dilihat sempat bertanyakan soalan kepada Zizie ketika di dalam mahkamah sama ada pernikahan mereka diketahui oleh isteri pertama Bung Moktar.
Zizie dengan tenang menjawab: ''Ya, dia tahu dan dia izinkan.''
Sejurus selepas mahkamah menangguhkan prosiding kira-kira pukul 11.30 pagi, pasangan itu dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah sambil 'diiringi' oleh kumpulan NGO tersebut.
Sambil ditenangkan oleh isterinya, Bung Moktar sempat berseloroh dengan kumpulan tersebut dengan berkata: ''Jumpa awak semua esok.''

No comments:

Post a Comment