Tuesday, May 25, 2010

Perjelas isu KTMB Tanjong Pagar di Parlimen



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 25 Mei: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi penjelasan di Parlimen mengani isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar yang akan berpindah ke Woodlands.
“Kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan butiran perjanjian bersama PM Singapura, Lee Hsien Loong agar rakyat dimaklumkan isu berkenaan dengan ini dengan jelas dan munasabah,” kata Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut kepada Harakahdaily.
Katanya, AMK Selangor melihat seolah-olah Perdana Menteri mudah ‘tunduk  melutut’ kepada permintaan negara-negara luar dalam isu hak dan kedaulatan negara yang bakal merugikan masa hadapan negara.
“Dalam isu KTMB ini, kita melihat seolah-olah Perdana Menteri tunduk dengan tekanan Singapura apabila dengan mudahnya sanggup bersetuju dengan perpindahan KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands dengan beralasan tanah seluas 12 hektar (29.65 ekar) akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60 peratus Malaysia dan 40 peratus Singapura,” ujarnya.
Luas asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar adalah 200 hektar atau 494 ekar (mengikut Singapore Railway Transfer Ordinance 1918) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun.
Menjelang hujung tahun ini, satu syarikat yang diberi nama M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan yang kononnya 60 peratus milik Malaysia dan 40 peratus milik Singapura.
“Apakah berbaloi Malaysia akur dengan persetujuan ini dalam masa pendek dan panjang?” tanya Mohd Ezli lagi.
Tambahnya, AMK Selangor mempersoalkan penubuhan syarikat itu berhubung pegangan ekuiti tersebut di mana pada masa akan datang yang mudah dibeli oleh pihak Singapura melalui Temasek Holdings Limited.
Malahan, katanya sebelum ini Malaysia yang sudah pun kehilangan hak kedaulatan Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands.
“Kali ini sekali lagi negara bakal kerugian besar terhadap potensi masa hadapan yang tidak dapat dikenalpasti dan dinilai pada masa sekarang,” ujarnya.
AMK Selangor juga, tambahnya melihat keputusan perpindahan KTMB ke Woodlands Train Checkpoint pada 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor menjelang 2018 adalah agenda terancang Singapura secara berperingkat ‘menghalau’ hak dan kedaulatan Malaysia sedikit demi sedikit yang kelak merugikan negara.
Perkara itu ada disebut dalam kenyataan media bersama antara kedua-kedua Perdana Menteri, semalam.
For the convenience of commuters, the rapid transit system link will have a single co-located CIQ facility in Singapore with the exact location to be determined later. It is targeted that the proposed rapid transit system link will be operational by 2018. Thereafter Malaysia may consider to relocate the KTMB Station from Woodlands to Johor.”
AMK Selangor juga, katanya lagi menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan di Parlimen pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura perkara-perkara yang dibincangkan yang perlu diketahui oleh rakyat.
“Kita tidak mahu media-media hanya mengumumkan perkara-perkara yang positif tetapi pada realitinya menenggelamkan isu-isu yang amat penting berkenaan hak dan kedaulatan negara,” ujarnya.
Justeru, tegasnya AMK Selangor menggesa agar kerajaan bertegas dan tidak mudah tunduk kepada negara luar khususnya yang melibatkan hak dan kedaulatan negara.
Menurutnya, rakyat tidak sanggup melihat negara kerugian besar di masa hadapan akibat kegagalan Perdana Menteri masa kini melihat dan berpandangan futuristik membuat keputusan tepat dan terbaik untuk negara.
“Kita menggesa agar rakyat bangkit mempersoalkan kewajaran keakuran kerajaan Malaysia berkenaan isu-isu dengan Singapura mutakhir ini.
“Kita mahu hak dan kedaulatan negara tidak mudah tergadai dan digadai kepada negara luar dengan mudahnya. Negara ini adalah hak, amanah dan tanggungjawab kita semua bersama-sama,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment