BAITULMAQDIS 10 Mei – Kebanyakan penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis, termasuk tiga daripada empat kanak-kanak, hidup di bawah garis kemiskinan kerana menjadi mangsa pengabaian dan diskriminasi oleh Israel.
Nasib penduduk Palestin di kota suci ini digambarkan dalam satu laporan yang disiarkan hari ini oleh sebuah pertubuhan hak asasi manusia Israel, Persatuan bagi Hak-Hak Sivil di Israel (ACRI).
ACRI menyiarkan laporannya itu ketika Israel memulakan sambutan untuk memperingati hari ulang tahun ke-43 rejim Zionis menawan timur Baitulmaqdis yang majoriti penduduknya Arab, pada 1967.
“Sebuah Baitulmaqdis bersatu tidak wujud. Sebenarnya dua kota wujud bersebelahan satu sama lain,” menurut laporan yang mencabar dakwaan Israel bahawa ia berjaya menyatukan kota suci in selepas menawan timur Baitulmaqdis dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Sebanyak 75 peratus kanak-kanak Palestin di timur Baitulmaqdis hidup dalam kemiskinan berbanding 45 peratus kanak-kanak Yahudi di kota suci ini.
“Lebih 95,000 kanak-kanak di timur Baitulmaqdis hidup dalam kemiskinan berterusan,” lapor ACRI.
Walaupun kemiskinan berleluasa, hanya 10 peratus daripada 300,000 penduduk di timur Baitulmaqdis mendapat bantuan kebajikan masyarakat.
“Dasar Israel sejak empat dekad lalu mengambil bentuk diskriminasi dalam perancangan dan pembinaan, rampasan tanah, dan pelaburan paling sedikit dalam penyediaan infrastruktur fizikal serta perkhidmatan kerajaan dan perbandaran,” menurut ACRI yang menuduh pihak berkuasa Israel mengabaikan setiap sektor kehidupan penduduk Arab di kota suci.
Israel merampas lebih satu pertiga tanah di timur Baitulmaqdis daripada pemilik persendirian Palestin dan lebih 50,000 rumah Yahudi dibina di atas tanah yang dirampas itu.
Pada akhir 2009, kira-kira 303,429 penduduk Palestin tinggal di timur Baitulmaqdis, bersamaan dengan 36 peratus daripada keseluruhan penduduk kota suci berjumlah 835,450 orang.
Israel menuntut seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya yang ‘abadi’ sementara Palestin mahu menjadikan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka pada masa depan. – AFP
No comments:
Post a Comment