Tuesday, May 18, 2010

Tolong bantu mereka yang susah


Ibu tunggal jadi tukang cuci sara 5 anak

KUALA TERENGGANU 17 Mei - "Jika diingat masa lalu, memang sedih. Kami sekeluarga pernah makan sebiji telur dikongsi beramai-ramai kerana tidak cukup wang untuk membeli lauk."
Begitulah luahan Fatimah Salleh, 48, ibu tunggal yang kini menyara lima orang anaknya setelah kematian suami 10 tahun lalu.
Dia yang berasal dari Kedai Buluh, Bukit Payung dekat sini mengakui, mereka putus tempat bergantung apabila suaminya, Shafie Botak, 55, meninggal dunia kerana menghidap penyakit buah pinggang.
Sejak itu ujarnya, dia terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada lima anaknya yang masih bersekolah dengan bekerja sebagai tukang cuci dan sapu di sebuah syarikat swasta dengan gaji RM400 sebulan.
"Memang saya bertekad untuk menghantar anak-anak ke sekolah walau apa cara sekalipun. Saya tidak mahu pelajaran mereka terabai walaupun kami hidup susah.
"Namun kerana tidak cukup wang, anak saya yang sulung terpaksa berhenti sekolah ketika dia memasuki tingkatan empat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jelasnya, dia yang mempunyai lima orang anak itu terpaksa berulang-alik ke bandar dengan menaiki bas awam sejauh 11 kilometer untuk ke tempat kerja di bandar Kuala Terengganu setiap hari.
Walaupun dia terpaksa memerah keringat setiap hari namun dia sedikit pun tidak pernah mengeluh kerana mengingatkan tanggungjawab suaminya yang meminta dia menjaga anak-anaknya dengan baik.
"Walaupun kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan kadang-kadang terpaksa meminta belas ihsan orang namun tidak sesekali saya akan abaikan anak-anak saya.
"Saya juga bersyukur kerana anak-anak saya memahami dan tidak pernah meminta apa-apa sekalipun melihat kanak-kanak lain mempunyai basikal untuk ke sekolah," jelasnya.
Menurut wanita itu, kehidupan dia sekeluarga kini semakin bertambah baik apabila anak keduanya kini membantu keluarganya dengan menjadi pengajar di sebuah kolej swasta di negeri Johor.

No comments:

Post a Comment