Tuesday, May 18, 2010

Belum baligh lagi


Syed Ali tempelak Nik Aziz

KUALA LUMPUR 17 Mei - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menganggap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "meludah ke langit dan terkena muka sendiri" kerana tidak tahu membezakan antara kebenaran dan kemungkaran di dalam politik.
Menurutnya, Menteri Besar Kelantan itu boleh disifatkan sebagai pemimpin politik yang cemas melihatkan sokongan kepada parti pembangkang ketika ini semakin terhakis.
"Beliau hanya mahu wakil rakyat pembangkang dijadikan seperti kerbau dicucuk hidung dan boleh ditarik ke kiri atau ke kanan tanpa banyak bantahan.
"Mujurlah sekarang ini sudah ramai wakil rakyat pembangkang keluar parti kerana sedar dengan penyelewengan dan penipuan oleh pemimpin mereka," ujar Syed Ali dalam blog UMNO Bahagian Cheras, http://umnobahagiancheras.blogspot.com/.
Menurut beliau lagi, jika ada wakil rakyat daripada parti menyokong kerajaan menyertai pembangkang khususnya Pas, sudah tentu Nik Abdul Aziz memberi gelaran yang baik kepada mereka.
Bagaimanapun katanya, apabila pembangkang keluar parti, Nik Abdul Aziz akan memberi gelaran buruk termasuk terbaru menganggap ahli Parlimen yang melompat parti sebagai "belum baligh".
Kata Syed Ali lagi, soal keluar parti bukan bermakna seseorang itu belum matang tetapi berlaku kerana seseorang itu tahu akan parti yang diwakilinya tidak amanah kepada rakyat.
"Beliau bercakap tanpa menggunakan akal fikiran yang matang malah mahu setiap percakapannya dijadikan fatwa walaupun bercanggah dengan kebenaran,'' katanya.
Menurut Syed Ali, jika Nik Abdul Aziz amanah dengan tanggungjawab yang diberi, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengeliru dan menyesatkan fikiran rakyat.
"Pemimpin pembangkang yang berada dalam keadaan jahil berpolitik seperti Nik Aziz sebenarnya menjadi beban kepada parti sehingga menimbulkan kekecewaan kepada wakil rakyat mereka," ujarnya.
Tambah Syed Ali, ahli Pas turut keliru dengan pendirian Nik Aziz, apakah beliau bercakap itu dalam keadaan sedar atau sekadar melepaskan geram kerana kecewa dengan kemerosotan pengaruh politik partinya.

No comments:

Post a Comment