Tuesday, May 18, 2010

Bedah siasat kekalahan di Sibu - Hishammuddin



PADANG BESAR 17 Mei - Barisan Nasional (BN) perlu melakukan bedah siasat segera bagi mengenal pasti punca utama calonnya tewas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bedah siasat itu mesti dilakukan secara telus untuk mengetahui faktor yang menyumbang terhadap kekalahan tersebut.
"UMNO memang kecewa dengan kekalahan itu, tetapi kita menerima keputusan berkenaan secara terbuka. Walaupun kalah tipis, BN perlu melakukan bedah siasat yang boleh dijadikan panduan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat Bersama Veteran UMNO dan Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan UMNO Bahagian Padang Besar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar Hassan di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, kekalahan di Sibu secara tidak langsung memberi panduan kepada BN untuk lebih menjurus terhadap empat perkara utama sebelum pilihan raya umum nanti.
"Perkara pertama ialah memastikan jentera parti benar-benar kuat. Kedua, kita hendaklah memulihkan semangat jentera parti sendiri supaya sentiasa kuat.
"Perkara ketiga dan yang paling mustahak ialah semua jentera BN mesti disatukan, sementara yang keempat pula jentera BN wajar 'turun padang' untuk lebih rapat dengan pengundi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment