Gara-gara mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mendedahkan klip video berhubung sogokan RM2 juta yang membabitkan beberapa Ahli Parlimen Bebas sebagaimana yang dicabar oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohammed Hashim, seorang wartawan RTM yang dikenali sebagai Tukimin dinasihatkan supaya bersikap lebih profesional.
“Kamu (Tukimin) tak jadi menteri lagi pun, kamu sudah begini. Sudah habis bertanya soalan, sudah habis tanya soalan, ok…kamu diam,” kata Anwar pada sidang media di lobi Parlimen tengah hari tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang beliau kenali secara peribadi jauh lebih berakhlak dan beradab ketika berkomunikasi dengan beliau jika dibandingkan dengan wartawan terbabit.
Disebabkan nasihat Anwar itu, wartawan terbabit terus berlagak agresif dan memperkecilkan nasihat Anwar lalu meninggalkan sidang media tersebut.
Sebelum pada itu, Anwar didesak bertalu-talu untuk menjelaskan secara spesifik bila beliau bersedia menyahut cabaran Zahrain sebagaimana dibuat di Dewan Rakyat, semalam.
Menjawab soalan itu, Anwar meminta wartawan terbabit mendedak RTM menyiarkan dahulu klip video konspirasi melantik hakim yang membabitkan Peguam VK Linggam sebelum ini.
Ini kerana, menurut Anwar, RTM tidak pernah profesional dalam mendedahkan kepincangan para pemimpin Umno BN dalam mentadbir negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, soalan berunsur provokasi oleh wartawan terbabit tidak seharusnya dilayan.
“Saya yang menentukannya (klip video RM2 juta), saya akan tetap mendedahkannya kelak. Kamu diam dan saya tidak perlu layan provokasi RTM,” tegasnya.
Turut menyertai Anwar ialah Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS/Ahli Parlimen Pokok Sena), Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Yusmadi Yusoff (Ahli Parlimen Balik Pulau).
No comments:
Post a Comment