Saturday, June 19, 2010

Pensyarah dalam senarai JI?





KUALA LUMPUR 18 Jun – Bukit Aman sedang menyiasat kemungkinan penglibatan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini dengan saki-baki kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).
Sumber Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan terdapat nama pensyarah dalam senarai pemantauan pasukan itu,
“Saya tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka (pensyarah-pensyarah) dengan kumpulan militan itu, kita sedang siasat,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan kumpulan militan JI dikesan cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja termasuk pelajar IPT.
Kata Musa, perkara itu terbukti selepas polis menahan dan mengusir 10 anggota JI dalam siri operasi yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Polis turut menyelamatkan 20 hingga 30 pelajar IPT daripada terjebak dalam gerakan militan itu dalam tempoh yang sama.
Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.
Menurut sumber itu lagi, sekiranya terbukti ada pensyarah yang terlibat dengan JI, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
Sumber itu juga mengesahkan masih terdapat saki-baki kumpulan ekstremis tersebut terutama di Johor dan Lembah Klang.
Mengenai ugutan kumpulan tersebut untuk meletupkan Kuil Batu Caves di Gombak dan Kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang, beliau berkata:
“Perkara itu memang betul dan setakat hari ini cuma dua kuil yang terlibat. Bagaimanapun kita telah meningkatkan pemantauan dan kawalan di kedua-dua kuil tersebut.”
Laporan akhbar hari ini menyebut PDRM telah meningkatkan pemantauan di kuil-kuil terbabit termasuk berpakaian preman berikutan wujud ancaman pihak militan untuk meletupkannya.

No comments:

Post a Comment