Thursday, June 24, 2010

Ramai ulama dalam UMNO


DR. MAHATHIR Mohamad memberi tepukan kepada pelajar Kolej Tunku Kurshiah yang muncul pemenang kategori menengah pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan 2010 di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyertaan ulama dalam UMNO bukan suatu yang baru kerana parti itu sentiasa mempunyai ramai golongan agama sejak dahulu lagi.
Justeru bekas Perdana Menteri berkata, desas-desus tentang kemungkinan bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin bersama puluhan lagi ulama muda menyertai UMNO dalam masa terdekat bukan satu usaha terbaru parti itu untuk menyaingi parti lain termasuk Pas.
Malah, kata beliau, para pengasas Pas sendiri merupakan tokoh ulama yang asalnya berada dalam UMNO tetapi kemudian keluar parti setelah kalah dalam pemilihan.
‘‘Saya tidak fikir begitu (usaha UMNO tarik penyertaan ulama) kerana UMNO sentiasa mempunyai ulama meskipun mereka tidak mempamerkan diri sebagai ulama.
‘‘Mereka itu (ulama UMNO) mempunyai ilmu mendalam dan mengamalkan ajaran agama serta memberikan pandangan agama tanpa mengira apa yang dilakukan oleh UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan 2010 di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.
Pertandingan anjuran YKP dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Oracle dan Kementerian Pelajaran itu menampilkan kajian, wawancara dan kaji selidik secara dalam talian melibatkan penyertaan para pelajar sekolah dari seluruh negara dengan tema ‘Pelajari daripada Sejarah dan Kepimpinan Negara’.
Hadir sama Pengarah Eksekutif YKP, Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob.
Bekas Presiden UMNO itu diminta mengulas laporan media sejak Ahad lalu mengenai kemungkinan Asri bersama 100 lagi ulama termasuk golongan akademik menyertai UMNO Jumaat ini.
Bagaimanapun Asri dilaporkan berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.
Terdahulu pada majlis berkenaan, Dr. Mahathir mengingatkan golongan pelajar supaya tidak hanya mempelajari tentang kejayaan yang dicapai oleh kepimpinan negara sebelum ini.
Sebaliknya, kata beliau, generasi muda juga perlu mempelajari segala kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini dan segala bentuk kesilapan yang dicatatkan oleh sejarah negara.
‘‘Tolong jangan sangka apa yang anda belajar itu sentiasa baik untuk anda semua, kita juga mesti menerima bahawa terdapat banyak kesilapan.
‘‘Jadi kita juga perlu belajar tentang kesilapan, bukan belajar yang betul sahaja. Ini bagi mengelakkan kita daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan pemimpin terdahulu,” katanya.
Menurutnya, keadaan yang serupa berlaku apabila satu ketika beliau ditanya adakah Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan oleh Malaysia masih merujuk kepada Jepun sedangkan negara matahari terbit itu mula menunjukkan kemerosotan.
‘‘Saya jawab ya, kami masih merujuk kepada Jepun, iaitu kami mempelajari apa bentuk kesilapan yang telah dilakukan oleh negara itu,” katanya.
Terdahulu, Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan berkenaan yang menyaksikan pasukan dari Sekolah Kebangsaan Jasin, Melaka, muncul juara kategori rendah; Sekolah Menengah Abdullah Munshi, Pulau Pinang (menengah); dan Kolej Tunku Khursiah, Seremban (menengah atas).
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, piala dan buku.
Tempat kedua pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), Sekolah Menengah Rahman Talib, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jelai, Negeri Sembilan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan buku.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Terengganu pula memenangi kategori khas dengan memperoleh hadiah wang tunai RM500.

No comments:

Post a Comment