Sunday, July 25, 2010

Ajak kepada perpaduan tapi tuduh hipokrit,sesat, burung kakak tua dan macam-macam lagi.Bangang dulu , kini dan selamanya

Nik Aziz disifatkan hipokrit



IBRAHIM Ali menerima borang keahlian daripada Pengerusi Perkasa Daerah Bachok, Osman Zakaria (tiga dari kiri) sempena majlis perlancaran Perkasa daerah itu di Tangok, Bachok, semalam.




BACHOK 24 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai manusia ‘hipokrit yang tertinggi’ kerana menolak perpaduan di antara orang Melayu dan Islam melalui kerjasama parti itu dengan UMNO.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz sewajaranya menyeru ke arah perpaduan serta bukannya menjadikan perbezaan dasar kedua-dua parti itu untuk tidak duduk semeja mencari titik persamaan demi agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu bukan seorang ulama sekiranya beliau masih bersikap anti perpaduan kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang mahukan umatnya bersatu padu dan melupakan sengketa lama.
“Saya terperanjat apabila Nik Aziz buat kenyataan Pas dan UMNO tidak mungkin bersatu sebab perbezaan dasar dan membuat analogi pasukan bola sepak untuk menjelaskan perkara ini.
‘‘Saya tidak terfikir beliau boleh menggunakan analogi ini disebabkan beliau adalah orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Kenapa beliau tidak merujuk kepada al-Quran dan hadis kerana soal perpaduan adalah satu ibadat untuk mengeratkan silaturahim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Perkasa Daerah Bachok di Pusat Ko-Kurikulum Tangok di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz Nik yang menolak sama sekali hasrat Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan supaya UMNO dan parti itu segera menamatkan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sewajarnya pemimpin Pas itu mencari titik persamaan di antara UMNO dengan Pas dan bukannya menjadikan sejarah lama sebagai alasan untuk menolak perpaduan.
“Jika soal dasar yang menjadi halangan, saya ingin bertanya apakah dasar Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama, sedangkan semua pihak tahu Pas ingin menubuhkan sebuah negara Islam manakala DAP dengan agenda Malaysian Malaysia, dua dasar yang jauh berbeza jadi kenapa dengan UMNO tidak dicari titik pertemuan yang saya percaya lebih banyak persamaan berbanding DAP.
“Kalau dia terus bersikap begini, saya katakan dia (Nik Abdul Aziz) seorang pendendam kerana nabi sendiri sanggup memaafkan umatnya walaupun dibaling dengan batu sehingga luka berdarah, sepatutnya lupakan perkara lama dan terus memandang ke depan demi masa depan anak cucu kita,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu memperbetulkan tanggapan yang salah pada peristiwa Pas terkeluar daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1977 kerana ia bukannya berpunca daripada UMNO semata-mata.
“Jangan salah anggap dalam isu ini, sebenarnya pada tahun itu Pas menghadapi masalah dalaman di antara dua pemimpinnya Datuk Asri Muda dan Datuk Mohd. Nasir sehingga menyebabkan parti itu sendiri yang berpecah dua di negeri ini.
“Lihat parti politik Cina seperti MCA, DAP dan Gerakan mereka bersatu padu dalam isu yang membabitkan kepentingan bangsa mereka tanpa ada sebarang halangan, kenapa kita orang Melayu tidak boleh buat begitu,” katanya.

Muhyiddin sifatkan pembangkang seperti burung kakaktua

KUALA LUMPUR 24 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perlakuan pembangkang yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu mentadbir apabila berkuasa sebagai tidak ubah seperti burung kakaktua yang pandai menyanyi tetapi tidak memahami maksud yang diucapkan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini seperti mana dalam isu pasir apabila kerajaan negeri Selangor ternyata tidak dapat menyelesaikannya sedangkan mereka ini pada masa sama hebat mengkritik kerajaan Pusat dalam isu yang lain.
"Kalau isu pasir dan air pun tidak dapat diselesaikan, sedang sebelum ini begitu hebat berkokok mengkritik dan memfitnah kerajaan. Mereka ini (pembangkang) samalah seperti burung kakaktua.
"Sesebuah kerajaan sepatutnya berusaha menyelesaikan masalah rakyat tetapi di Selangor dan Pulau Pinang sebaliknya yang berlaku.
"Pembangkang semakin menambah masalah kepada rakyat dengan membenarkan kegiatan curi pasir berleluasa, merobohkan rumah penduduk selain gagal menyelesaikan isu air," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Barisan Nasional (BN) peringkat Parlimen Wangsa Maju, di Pasar Besar Gombak, di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, hanya kerajaan BN sahaja yang mampu mentadbir dan menyelesaikan segala masalah rakyat kerana parti itu bukan sahaja mempunyai pengalaman tetapi pada masa yang sama merupakan sebuah parti yang mendengar denyut nadi rakyat.
"Pembangkang cuba menafikan hakikat yang diakui oleh seluruh dunia tetapi pakatan tersebut lupa, nikmat yang mereka perolehi sekarang ini pun adalah atas jasa kematangan pemimpin BN menguruskan negara ini," katanya.
Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan janji dan pembohongan pembangkang kerana senario politik dan ekonomi yang berlaku di negeri pimpinan pakatan pembangkang sudah membuktikan segalanya.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menceriakan semula 10 unit rumah pangsa di Taman Melati, Gombak, yang sudah usang.
Katanya, peruntukan itu bagi membolehkan atap rumah yang bocor diganti serta bangunan rumah yang usang dicat semula.
habis.

No comments:

Post a Comment