Thursday, July 8, 2010

Banteras habis-habisan pelacur sekolah



MELAKA 7 Julai - Kerajaan negeri meminta polis, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menggiatkan usaha membanteras kegiatan perdagangan manusia khususnya sindiket pelacuran melibatkan pelajar sekolah menengah.
Sambil memuji tindakan cekap polis negeri menumpaskan sindiket pelacuran membabitkan pelajar sekolah menengah di dua hotel bajet di bandar raya ini kelmarin, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha itu perlu dipertingkatkan.
"Saya ucapkan tahniah kepada polis Melaka kerana berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran yang menggunakan pelajar sekolah menengah. Kejayaan ini sepatutnya dialu-alukan atas kerja gigih polis untuk membanteras bukan sahaja kegiatan pelacuran tetapi juga jenayah.
"Sejak dulu lagi saya telah meminta agar semua pihak yang berkaitan dengan penguat kuasa undang-undang menggempur sebarang tempat yang dijadikan sarang maksiat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui melakukan lawatan kerja ke negeri ini dan melawat Kilang Maruwa Malaysia di Zon Perindustrian Bebas Batu Berendam di sini hari ini.
Mohd. Ali mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kejayaan polis negeri menumpaskan satu sindiket pelacuran melibatkan pelajar sekolah menengah di dua hotel bajet di bandar raya ini yang dipercayai beroperasi sejak Mei lalu.
Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di sini yang mendakwa telah diperdaya berjaya diselamatkan manakala seorang ibu ayam bersama dua pembantunya diberkas.
Dalam dua serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di hotel bajet dan sebuah rumah di Duyung di sini, polis menemui tiga pelajar yang mengaku dipaksa menjual tubuh dengan bayaran antara RM60 hingga RM80 untuk sekali hubungan seks.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menggunakan pelajar sekolah menengah untuk kegiatan pelacuran.
"Apa perasan mereka jika anak mereka pula dipaksa menjadi pelacur," katanya.

No comments:

Post a Comment