Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, tema yang dilaungkan sempena Piala Dunia 2010 itu wajar diterima pakai oleh semua rakyat di Malaysia termasuk kepada BN yang sebelum ini mengkhususkan parti komponennya mengikut kaum.
“Kerajaan Negeri menyokong seratus peratus tema yang menidakkan perkauman yang mana adalah satu mesej yang berguna kepada golongan muda iaitu bukan warna kulit yang menjadi keutamaan tetapi sifat dan pegangan yang perlu ditonjolkan. Saya percaya rakyat Malaysia juga menyokong slogan ini kerana ia mesej yang sangat berguna.
“Saya juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghayati mesej tema ini dan kita harap ia diamalkan oleh semua parti politik seperti BN khususnya dalam parti komponennya iaitu UMNO untuk kaum Melayu, MIC untuk kaum India manakala MCA untuk kaum Cina bagi melahirkan sebuah parti politik yang telus dan adil,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, BN perlu mengambil langkah itu kerana ia adalah contoh terbaik kepada semua parti di negara ini.
“BN sepatutnya menjadi contoh terbaik dalam menyokong tema ini kerana merekalah yang memimpin negara dan saya berharap agar Najib akan mempertimbangkan apa yang terbaik.
“Ini bagi mengelak dari pentadbiran yang berat sebelah yang mengutamakan sesetengah agama dan bangsa sahaja. Ini hanya pandangan sahaja, jika ada yang mengatakan tema ‘Tak Nak Perkauman’ ini salah, itu terpulang lah kepada pendapat masing-masing,” katanya.
Sebelum itu, Guan Eng menerima kunjungan dari Datuk Bandar Adelaide, Michael Harbison serta isteri, Kathy Harbison yang dijemput oleh Kerajaan Negeri bagi menyaksikan Georgetown Festival yang bermula 1 Julai lalu yang mana ia akan diadakan sepanjang bulan Julai ini.
No comments:
Post a Comment