Tuesday, July 6, 2010

Kerajaan Negeri ambil langkah atasi bayi tidak berbapa



MARANG - Kerajaan Terengganu memberi perhatian serius dan berusaha mengambil langkah mengatasi atau mengurangkan masalah kelahiran anak tidak berbapa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, kerajaan Negeri akan meningkatkan langkah pencegahan bibit-bibit masalah itu daripada peringkat awal dengan mengadakan kursus dan motivasi yang menekankan nilai keagamaan.

"Program motivasi atau kursus kepada remaja diadakan sebelum ini dan ia akan ditambah nilai pada program pada masa depan dengan memasukkan aspek keagamaan dan keislaman," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Jejak Gemilang Murid Terbilang anjuran Yayasan Terengganu di Sekolah Menengah Pengkalan Berangan di sini, hari ini.

Yahya berkata, kursus yang diadakan itu perlu mendapat kerjasama semua pihak seperti polis, Jabatan Agama Islam selain ibu bapa remaja itu sendiri.

"Kita kena duduk semeja bagi membincangkan masalah anak-anak ini. Dengan cara itu kita dapat membendung atau mengurangkan masalah kian merebak sekarang," katanya.

Baru-baru ini, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari. - Bernama

No comments:

Post a Comment