Saturday, July 10, 2010

Hidup dalam limpahan najis



SKUDAI - Penghuni blok V, Pangsapuri Jasa, Mutiara Rini, di sini terpaksa menghidu bau busuk setiap hari apabila tangki pembetung yang berada di bahagian bawah bangunan pecah mengakibatkan berlaku limpahan najis sehingga bertakung di tempat letak kereta.

Difahamkan masalah berkenaan berlarutan sejak awal tahun ini disebabkan pihak pengurusan yang bertanggungjawab tidak menjalankan kerja-kerja pembersihan sepenuhnya seperti yang tercatat dalam perjanjian.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP), Ibrahim Ali berkata, sebanyak 20 blok dikendalikan di bawah pengurusan berkenaan tetapi keadaannya seperti ‘rumah tinggal’ termasuk landskap dipenuhi lalang yang semakin meninggi.

“Tinggi lalang dengan pokok hampir sama kerana sejak lima bulan lalu tiada lagi pekerja kontrak datang untuk memotong rumput menyebabkan kami semua bimbang ianya akan berlarutan sehingga menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya.

Menurutnya, keadaan persekitaran yang semakin dipenuhi semak dikhuatiri akan menjadi sarang haiwan berbisa selain itu, taman permainan kanak-kanak juga menghadapi masalah sama membuatkan penduduk bimbang untuk membenarkan anak-anak bermain di situ.

“Dahan pokok yang tidak dicantas menyebabkan keadaannya semakin merimbun sehingga najis burung yang bersarang di pokok itu memenuhi bahagian tingkap salah satu unit rumah di sini selain rumah itu dimasuki ulat bulu,” katanya.

Menurutnya, kerosakan lampu juga tidak dibetulkan oleh pihak pengurusan selain memberi ruang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan kerana setiap bulan ada penduduk yang mengadu kehilangan kenderaan.

“Jika hendak kira jumlah motosikal yang hilang memang banyak malah ada juga penduduk yang kehilangan kereta kerana kawasan perumahan ini tidak di pagar sepenuhnya malah ada ‘jalan tikus’ yang digunakan pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Blok V, Tee Kang Leng, berkata, pihaknya terpaksa mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana pihak pengurusan tidak mengendahkan permintaan penduduk untuk membersihkan ke semua blok di situ.

“Ramai penduduk berhasrat menjual kediaman mereka kerana tidak selesa tinggal di pangsapuri ini,” katanya.

Katanya, mereka juga tidak tahu untuk menjaga kebajikan penghuni di sini membuatkan ramai penduduk bersepakat untuk tidak 
membayar bayaran penyelenggaraan sebanyak RM25 sebulan malah untuk bermesyuarat mereka hanya hantar SMS pada saat akhir.

Reaksi Pengurus Akaun Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Jasa, Mohd Yahya Haron berkata, keadaan pangsapuri berkenaan tidak mampu diurus dengan baik kerana penduduk tidak membayar caj penyelenggaraan bulanan yang dikenakan sebanyak RM25 sahaja.

“Pada awalnya caj yang dikenakan sebanyak RM30 tetapi kami mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah itu selepas melihat ramai penduduk yang enggan melunaskan bayaran itu sehingga pihak kami terpaksa berhutang dengan kontraktor,” katanya.

Katanya, untuk memastikan penduduk selesa, pihak pengurusan sanggup berhutang bagi membersihkan kawasan kediaman mereka sehingga mencecah RM64,000 meliputi kerja pembersihan, bil elektrik dan sebagainya.

“Sebagai contoh masalah tangki najis yang melimpah kami terpaksa menanggung kos bulanan sebanyak RM1,200 sebulan bagi 12 tangki yang ada sedangkan jumlah bayaran yang dikutip untuk blok V hanya RM25 sebulan,” katanya.

Menurutnya, jumlah bayaran bil elektrik untuk lampu tangga dan kawasan parkir jumlahnya adalah RM700 manakala pemotongan rumput bagi satu blok menelan belanja sehingga RM400 sebulan sedangkan kutipan caj penyelenggaraan amat me ngecewakan.

“Kami juga sanggup bekerjasama kepada mana-mana blok yang mahu mengadakan aktiviti gotong-royong dengan memperuntukkan subsidi untuk membeli makanan sebagai tanda sokongan dari pihak pengurusan,” katanya.

Difahamkan jumlah caj penyelenggaraan yang tertunggak oleh penduduk kepada syarikat itu berjumlah RM1.8 juta semenjak syarikat itu mengambil alih bahagian pengurusan bermula tahun 2001 manakala kontraknya akan tamat dalam masa tiga tahun lagi.

No comments:

Post a Comment