KUALA LUMPUR 9 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, tindakan itu untuk memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab.
PDRM juga pada masa sama, menurutnya, akan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan yang gagal melunaskan saman selepas tiga bulan notis diserahkan.
Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mengikut kedua-dua seksyen terbabit, polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) boleh menyenaraihitamkan pemilik kenderaan sekiranya mereka masih ada urusan (saman) yang belum diselesaikan dengan polis atau JPJ, maka mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini menerima banyak rungutan daripada orang ramai berhubung pelaksanaan saman ekor.
Selasa lalu, seorang pembaca dalam suratnya kepada akhbar ini berhujah yang seseorang pengguna sepatutnya tidak dihukum dan disenaraihitamkan selagi belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.
Abdul Aziz bagaimanapun menjelaskan, sebelum menyenaraihitamkan setiap pemilik kenderaan, satu notis saman akan dikeluarkan kepada mereka dan menunggu maklum balas daripada pemilik tersebut sama ada mereka atau orang lain yang melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh selama tujuh hari kepada setiap pesalah untuk memberi maklum balas terhadap notis itu dan menyerahkannya semula kepada PDRM.
"Sebagai contoh, jika kesalahan itu dilakukan oleh orang lain dan menggunakan kenderaan mereka, pemilik kenderaan perlu menyatakan nama dan alamat pemandu berkenaan agar satu saman diserahkan kepada mereka yang melakukan kesalahan itu.
"Bagaimanapun, jika pemilik kenderaan itu memberikan maklumat yang salah, maka tindakan tegas akan diambil ke atasnya," katanya.
Tambah Abdul Aziz, pihaknya telah menyerahkan notis saman kepada lebih 2.5 juta pemilik kenderaan sejak September 2009.
Beliau berkata, sebanyak 1.07 juta pengguna lalu lintas yang melakukan kesalahan dan mengabaikan saman disenaraihitamkan sejak ia dikuatkuasakan 15 April lalu.
Menurut beliau, notis yang diberikan sejak September tahun lalu itu dilihat memadai untuk memaklumkan kepada orang kena saman (OKS) agar membayar saman mereka bagi mengelak disenarai hitam.
Katanya, pengguna yang disenarai hitam adalah mereka yang melakukan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju serta melanggar lampu isyarat.
Pihaknya mempunyai bukti seperti rakaman gambar kesalahan setiap pengguna sebelum mengeluarkan saman tersebut.
"Sekiranya pemilik kenderaan itu tidak memberi sebarang maklum balas, maka pihak polis beranggapan pemilik terbabit benar melakukannya dan diminta untuk membayar saman berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz meminta agar setiap pemilik kenderaan mengemas kini alamat masing-masing bagi memudahkan segala urusan berkaitan saman.
Pemilik kenderaan juga tambahnya, boleh merujuk saman ekor yang mereka terima di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekiranya yakin tidak melakukan kesalahan tersebut.
No comments:
Post a Comment