Thursday, July 15, 2010

Lulus operasi ternakan babi



SEREMBAN – Kerajaan Negeri bersetuju membenarkan pengusaha ladang ternakan babi di Air Kuning, Gemencheh meneruskan operasi tetapi dengan bersyarat. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengusaha ladang ternakan terbabit perlu sentiasa memastikan air kumbahan tidak menjadi punca pencemaran air dan bau di kawasan sekitar.

Menurutnya, mereka juga hanya dibenarkan menternak 1,000 babi dari tahun ke tahun sebagai syarat jumlah kawalan ternakan dipersetujui bersama. 

“Dahulu Kerajaan Negeri telah mengarahkan pengusaha ladang ternakan ini berpindah ke Pusat Ternakan Babi (PFA) di Ladang Tanah Merah dan turut memberikan mereka jadual berkala bagi mengurangkan jumlah ternakan setiap tahun. 

“Oleh itu, sebelum mereka berpindah ke PFA, satu tempoh masa diberikan dengan menetapkan pengurangan had jumlah ternakan sebanyak 500 babi setiap tahun. Namun kini, kami hanya membenarkan 1,000 babi sahaja,” katanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, dekat sini, semalam. 

Mohamad berkata, beliau difahamkan pengusaha ladang terbabit mampu mengurangkan 80 peratus bau busuk dengan penggunaan teknologi canggih. 

“Atas faktor ini memungkinkan kebenaran ini diputuskan Kerajaan Negeri kerana mereka mampu mengawal pencemaran dengan baik selain memiliki sistem kumbahan sistematik. 

“Persetujuan ini juga berdasarkan pertimbangan yang telah dikaji dan rundingan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.

Menurutnya, pengusaha ladang ternakan terbabit juga telah memaklumkan masalah mereka mengenai kawasan ternakan baru di Ladang Tanah Merah belum siap sepenuhnya, selain kos operasi mahal walaupun telah membeli tapak di kawasan itu. 

“Justeru, mereka meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan keputusan bagi membolehkan operasi diteruskan di sana dan atas dasar itu, kami memberi kebenaran. 

“Namun, jika didapati mereka melanggar syarat ditetapkan, kami akan serta-merta mengarahkan mereka untuk berpindah dengan segera,” katanya. 

Pada sidang media itu juga, Mohamad turut menyampaikan bantuan pelbagai kepada 33 penerima bantuan membabitkan sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

No comments:

Post a Comment