Sunday, July 18, 2010

mengata orang awak yang lebih

Hisham: Pas tidak ikhlas martabatkan Islam

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berdolak-dalik dan tidak konsisten pendiriannya menggambarkan yang parti itu tidak ikhlas memperjuang dan memartabatkan kepentingan Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pas kini dilihat tersasar daripada perjuangan asal apabila lebih cenderung menjayakan agenda peribadi seorang pemimpin sahaja iaitu Nik Abdul Aziz.
Beliau yakin sebahagian besar penyokong Pas mengimpikan sebuah parti yang menampilkan agenda lebih besar demi kepentingan agama dan bangsa, tidak sekadar jumud kepada kehendak Menteri Besar Kelantan itu semata-mata.
"Saya tahu penyokong Pas tidak bersetuju parti itu digerakkan atas kemahuan dan kehendak seorang pemimpin sahaja.
"Ada had dan batasan untuk kita berpolitik, sekiranya Pas betul-betul ikhlas memperjuangkan Islam, jangan berdolak-dalik dalam membuat pendirian.
"Banyak luahan yang diterima daripada penyokong Pas sendiri menyatakan kepimpinan parti mereka banyak tidak sehaluan dan tidak sekata jika dibandingkan dengan kepimpinan sebelum ini," katanya.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang bersetuju untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin asalkan perbincangan itu tidak menjurus kepada perpaduan antara Pas dan UMNO.
Nik Abdul Aziz sebaliknya mahu pertemuan tersebut memberi fokus terhadap rundingan pemberian royalti minyak yang dimohon oleh Kelantan.
Mursyidul Am Pas itu berpendapat agenda perpaduan antara kedua-dua parti telah lama berkubur dan menganggap UMNO adalah parti yang jelas menolak Islam.
Ditanya mengenai gesaan ramai pihak termasuk golongan ulama di negara ini yang komited bahawa kedua-dua parti perlu bersatu untuk menegakkan Islam, Hishammuddin berkata, UMNO tidak meletakkan harapan perbincangan lanjut mengenai agenda perpaduan ini dengan hanya seorang pemimpin dalam Pas.
"Kita (UMNO) perlu melihat perkara ini secara menyeluruh termasuk dalam kalangan penyokong dan pemimpin Pas lain yang ikhlas mahu melihat perkara ini berjaya," katanya.
Malah katanya, UMNO sendiri belum membincangkannya secara mendalam sama ada melalui peringkat pengurusan parti atau biro politik.
"Jika betul-betul hendak duduk berbincang pasal kepentingan nasib Islam dan bangsa, mestilah ada titik persefahaman penuh jujur yang boleh membawa kepada satu usaha membina. Tiada sebabnya kita hendak berjumpa hanya untuk berbalah," katanya.

No comments:

Post a Comment