2010/07/26
KUALA LUMPUR: Di sebalik perwatakannya yang serius, jarang tersenyum dan berpendirian tegas, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menitiskan air mata melihat nasib beberapa bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mengalami pelbagai masalah kesihatan. Timbalan Perdana Menteri tidak dapat mengawal kesedihannya pada majlis penyampaian sumbangan kepada 13 ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) selepas melihat ada antara mereka yang lumpuh selain menghidap sakit jantung dan diserang angin ahmar.Beliau menitis air mata selepas menyerahkan replika cek kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Muar, Johor, Muntaha Kailan yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda akibat serangan angin ahmar.Muhyiddin tidak mampu meluahkan kata-kata dan hanya mengesat air mata ketika menyerahkan replika cek bernilai RM8,500 kepada Muntaha yang dikumpul menerusi Pertandingan Golf Amal Jemputan 2010, semalam.
Ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dan MUBARAK yang berada pada majlis itu terdiam melihat Muhyiddin menitiskan air mata ketika duduk di meja makannya.
Pertandingan persahabatan golf amal itu adalah antara pasukan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMGC) dan BNBBC yang bertujuan mengeratkan hubungan antara wakil rakyat serta bekas wakil rakyat BN.
Pertandingan itu dimenangi TSMCG dengan mengutip 669 mata menewaskan BNBBC (536 mata) dan berjaya mengumpul dana berjumlah RM100,000 yang digunakan untuk tujuan amal.
Seramai 100 wakil rakyat dan bekas wakil rakyat BN dari seluruh negara menyertai pertandingan itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bermain untuk BNBBC.
Sebelum pertandingan itu, Perdana Menteri turut memotong kek dan pulut kuning sempena majlis meraikan ulang tahun kelahirannya ke-57, yang jatuh Jumaat lalu.
Selain Muntaha, bekas wakil rakyat yang menerima sumbangan ialah Datuk Badrul Hisham Abd Aziz (bekas Ahli Parlimen Hulu Langat) dan Datuk Zakaria Said (bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah).
Bekas ADUN Labu, Datuk Mohamad Shahlan Shaid; Jusoh Musa (bekas ADUN Alor Limbat), bekas Senator Asmah Ismail dan Datuk Majid Baba.
Terdahulu, Muhyiddin selaku pengasas TSMGC berkata, wakil rakyat BN perlu menunaikan tanggungjawab sosial dengan membantu rakan mereka dan bekas wakil rakyat atau pemimpin masyarakat yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
No comments:
Post a Comment