MENERUSI sejarah yang dipelajari, kita mengenali Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein Al-Haj sebagai Bapa Pembangunan. Namun, sejauh manakah kita mengenali figura itu yang turut bertanggungjawab meleraikan kemelut krisis perkauman pada 13 Mei 1969?
Beliau membesar di kawasan perkampungan dan perlu berjalan sejauh enam kilometer ke sekolah tanpa kasut. Bukan kerana tidak mampu, beliau bagaimanapun mahu berkaki ayam seperti kawan-kawannya yang lain. Itu antara paparan yang boleh disaksikan dalam dokumentari A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak.
Diterbitkan dengan kerjasama antara National Geographic Channel, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan Astro, dokumentari selama 60 minit itu merupakan antara paparan khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53.
Ditayangkan secara eksklusif di saluran National Geographic (Astro 553) pada 31 Ogos, 9 malam, 5 September, 9 malam dan juga 16 September, 9 malam, dokumentari itu juga akan memaparkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.
“Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia akan mengikuti cerita bagaimana seorang pemimpin berwawasan membentuk pembangunan masa depan negara kita. Kami meneroka tema, isu dan kisah-kisah beliau yang mampu menghubungkan semua penonton Malaysia,” kata Pengarah dan Ketua Wilayah, Fox International Channels dan National Geographic Channel Asia.
Menariknya, audiens juga akan menyaksikan pengorbanan beliau ketika berdepan dengan cabaran terbesar melawan penyakit yang dirahsiakan termasuk daripada pengetahuan keluarganya sendiri. Berakhir dengan babak saat-saat akhir kehidupannya, dokumentari itu diarahkan oleh Justin Ong.
“Beliau tahu dirinya akan meninggal tidak lama tetapi beliau memilih untuk menghabiskan masanya dengan membentuk negara. Kita amat bertuah untuk hidup di generasi ini terutama selepas saya melihat sendiri filem arkib. Jadi dokumentari ini adalah antara cara kita boleh menghargai pergorbanan pemimpin negara.
“Diakui banyak lagi benda yang boleh dimasukkan dalam dokumentari ini tetapi durasinya amat terhad. Ramai orang yang mengenali beliau menerusi buku sejarah. Justeru, kami meneroka kehidupannya sejak kecil. Itu antara cabaran kerana kami perlu memadatkan jalan cerita,” ujar Justin.
Menggunakan masa tiga bulan untuk direalisasikan, ia satu rekod yang tidak pernah digunakan untuk menyiapkan mana-mana produk untuk saluran National Geographic Channel.
Malah sejak Finas bekerjasama dengan saluran antarabangsa itu, mereka telah meminta sebarang program yang ingin disiarkan perlu menggunakan masa sekurang-kurangnya setahun untuk penyelidikan, rakaman serta pasca produksi.
“Jangka masa itu menjadi salah satu kriteria kerana kami amat mementingkan kualiti. Idea untuk menghasilkan dokumentari ini sebenarnya lahir tahun lalu tetapi hanya dilaksanakan sekitar bulan April lalu. Kami sebelum ini pernah menyiarkan dokumentari seperti Becoming A King dan bagi sambutan kemerdekaan ini, kami inginkan kelainan,” ujar Basil lagi.
Ditayangkan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris bagi mencapai lebih ramai penonton, isi kandungannya juga dibikin supaya ia boleh diterima oleh kanak-kanak mahupun penonton dewasa. Bagi mengukuhkan lagi perjalanan plot, beberapa orang penting di sekeliling Allahyarham turut ditemu bual.
Antaranya termasuk anak sulung Abdul Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, pembantu khas beliau, Tunku Tan Sri Datuk Shahriman, bekas setiausaha Parlimen beliau, Tan Sri Datuk Michael Chen, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar dan anak keduanya, Datuk Ahmad Johari.
“Kita sudah merdeka selama hampir 53 tahun dan mereka yang berada pada zaman itu sudah semakin tua. Jika kita tidak mula membikin atau menemu bual mereka, mungkin dalam masa 10 tahun lagi, kita sudah tidak dapat informasi daripada mereka yang hidup ketika itu.
“Pihak produksi amat bertuah untuk mendapatkan ramai pihak untuk ditemu bual. Contohnya seperti bekas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Datuk Thong Yaw Hong yang tidak pernah ditemu bual oleh mana-mana media,” jelas Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.
No comments:
Post a Comment