GAZA 14 Ogos - "Bantulah kami." Itu antara luahan sayu Muna Abu Qudrah, 42, yang tinggal di dalam khemah sementara berlantaikan pasir putih bersama tujuh anaknya di sini.
Muna terpaksa lari selepas rumah yang didiami musnah akibat diserang tentera Israel tujuh bulan lalu.
Wanita tersebut antara 40 penduduk dari Mahata Dier El Ballah, utara Gaza, yang terpaksa mencari tempat berlindung selepas menghadapi tindakan kejam rejim Zionis itu.
Melihat khemah yang didiaminya tanpa sebarang kemudahan termasuk bekalan air dan elektrik sudah cukup menggambarkan penderitaan berpuluh-puluh penduduk yang tinggal di tanah milik kerajaan itu.
Nasib sama turut dialami Maream El Lah, 72, apabila terpaksa mencari tempat berteduh ketika keadaan kehidupan kini semakin tidak menentu.
Dua penduduk ini adalah antara ribuan mangsa kekejaman Israel yang ditemui anggota Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Gaza anjuran kelab berkenaan yang diketuai presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Misi dengan 67 anggota termasuk 35 doktor itu turut menyaksikan terdapat kanak-kanak kecil terbiar tanpa mempunyai makanan dan pakaian yang mencukupi.
Kehadiran anggota misi tersebut melegakan penduduk terbabit setelah sekian lama mereka tidak pernah dibantu seperti itu, apatah lagi di bulan Ramadan.
Bekalan tepung dan makanan termasuk kuih bahulu dan kuih bakar yang dibawa anggota misi berkenaan diterima dengan penuh makna oleh penduduk terbabit, sekali gus membuktikan keikhlasan sukarelawan dari Malaysia untuk membantu.
Sehingga kini sudah lebih 1,000 penduduk di Gaza telah dibantu termasuk membiayai perbelanjaan menyediakan makanan untuk beberapa buah masjid di Gaza.
Dalam pada itu, Abdul Azeez yang turut memberikan hadiah berupa permainan kanak-kanak di sebuah klinik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) tidak menyangka sumbangan tersebut menjadi impian kanak-kanak apabila para sukarelawan yang mengagihkan barangan tersebut diserbu.
Sebahagian doktor turut mengambil kesempatan berbudi kepada kepada penduduk di Dier El Ballah dengan menghulurkan barangan makanan.
Abdul Azeez berkata, kesengsaraan penduduk sebagaimana dilihat oleh anggota misi berkenaan menunjukkan betapa mereka begitu memerlukan bantuan pihak luar untuk meneruskan kehidupan.
"Kami tidak sanggup melihat penderitaan seperti ini apatah lagi sesama Muslim," ujarnya yang terpaksa berjalan bersama anggota misi sejauh 1.5 kilometer untuk menyerahkan bantuan.
Katanya, sudah pasti sumbangan rakyat Malaysia masih diperlukan untuk penduduk Gaza ini. - MINGGUAN
No comments:
Post a Comment