Thursday, August 26, 2010

UMNO sedia runding


BANTING 25 Ogos – UMNO akan berunding dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pelaksanaan dasar gaji minimum dilaksanakan segera khususnya di sektor perkilangan.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia salah satu langkah bagi memastikan setiap pekerja swasta menerima gaji yang mencukupi selaras dengan taraf hidup semasa.
Ini kerana, katanya, berdasarkan maklumat, sebahagian besar pekerja sektor perkilangan di negara ini menerima gaji pokok RM500 sebulan yang ditetapkan oleh majikan sejak 35 tahun lalu.
Jelasnya, jumlah itu ternyata terlalu rendah dan berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan sebanyak RM700 sebulan.
“Kita faham keluhan pekerja tempatan dari pelbagai sektor termasuk perkilangan yang rata-rata mereka menerima gaji asas yang begitu rendah dan tidak setimpal dengan kos hidup masa kini.
“Kita mahu taraf pendapatan yang lebih baik. Sehubungan itu, kita akan sampaikan keluhan dan rungutan kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr. S. Subramaniam) supaya kebajikan para pekerja ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berucap pada majlis berbuka puasa dan ramah mesra bersama kira-kira 600 pekerja kilang di kawasan Kuala Langat dan Sepang di Bandar Sungai Emas di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM), Wan Noorul Azhar Mohd. Hanafiah.
Pada majlis itu, Ahmad menerima memorandum daripada KSIEWBSM yang menuntut kerajaan mengambil tindakan serta langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kebajikan pekerja sektor berkenaan terbela.
Antara kandungan memorandum tersebut ialah meminta kerajaan melaksanakan segera gaji minimum kepada pekerja sektor berkenaan, kebajikan pekerja dari segi manfaat pekerjaan termasuk cuti, jam bekerja dan sebagainya.
Dalam pada itu, Wan Noorul Azhar ketika ditemui berkata, pihaknya meminta kerajaan Pusat agar mencari jalan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi para pekerja termasuk meminta pihak majikan supaya mematuhi peraturan sedia ada.

No comments:

Post a Comment