ALOR GAJAH 26 Sept. – Tiga beradik, masing-masing berusia 12, 11 dan lapan tahun tidak pernah merasai alam persekolahan gara-gara tiada sijil kelahiran ekoran kesempitan hidup yang dihadapi keluarga mereka.
Mohd. Firdaus Aziz, 12, Mohd. Khairul Azhar Aziz, 11, dan adik perempuan mereka, Siti Maisara Nazira Aziz, 8, sudah lama berhasrat ke sekolah namun disebabkan keluarga mereka tidak berkemampuan, ia terpaksa dipendam.
Mohd. Firdaus yang sepatutnya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Selasa lalu bersama rakan-rakan sebayanya terpaksa menghabiskan masanya di rumah walaupun terlalu berkeinginan untuk belajar seperti lima lagi adik-beradiknya.
Menurut kanak-kanak itu, lima beradiknya yang lain bernasib baik kerana mempunyai sijil kelahiran dan berpeluang ke sekolah.
“Sejak kecil, saya cemburu dengan adik-beradik lain sebab hanya kami bertiga dalam keluarga yang tidak ke sekolah.
“Malah, saya sering bertanyakan pada ibu tentang hal sekolah tetapi ibu beritahu, saya tidak boleh ke sekolah sebab tiada sijil kelahiran.
“Akibatnya, saya sering diejek oleh rakan kerana tidak pandai membaca dan tidak bersekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Mohd. Firdaus berharap agar dia bersama dua adiknya itu dibantu mendapat sijil kelahiran demi membolehkan mereka menikmati kemudahan pendidikan yang sewajarnya seperti kanak-kanak sebaya dengan mereka.
Lebih malang lagi bagi tiga beradik itu, ibu mereka, Rosnani Abdullah, 37, juga tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan sepanjang hidupnya kerana dipelihara keluarga angkat dari Indonesia sejak bayi.
Ibu tunggal dari Kampung Permatang Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini ketika ditanya mengapa tiga anaknya itu tidak didaftarkan kelahiran mereka berkata, ia berpunca daripada keadaan dirinya yang sering tidak sihat selepas melahirkan anak menyebabkan urusan pendaftaran kelahiran tidak dapat diuruskan.
“Selepas melahirkan anak, saya sering tidak sihat ditambah pula dengan keadaan suami yang ketika itu juga sedang sakit.
“Sejak suami meninggal dunia beberapa tahun lalu, saya terpaksa menjaga lapan anak bersendirian dengan hidup yang serba kekurangan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap, jika ada kerja barulah ada duit untuk menampung keperluan hidup,” katanya.
Katanya, selain dilanda kesempitan hidup, mereka lapan beranak juga terpaksa berkongsi tempat tinggal dengan dua keluarga saudara yang berjumlah 16 orang dalam sebuah rumah yang usang di sini.
Ujar Rosnani, anak saudaranya seramai lima orang berusia empat hingga 12 tahun juga tiada sijil kelahiran disebabkan ibu bapa masing-masing tidak mengetahui tentang kepentingan mendaftarkan kelahiran anak mereka.
Sementara itu, satu majlis perbincangan diadakan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Ismail Othman dengan agensi kebajikan berkaitan antaranya Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) anjuran Pembela Barisan Nasional (BN).
Melalui pertemuan itu, JPN bertindak memproses permohonan mendapatkan MyKad dan sijil kelahiran bagi Rosnani, Mohd. Firdaus, Mohd. Khairul Azhar dan Siti Maisara Nazira beserta lima saudara mereka yang lain.
Selain itu, mereka turut menerima bantuan kebajikan lain termasuk biasiswa pendidikan Tapem dan elaun JKM.
No comments:
Post a Comment