Oleh Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/10/24
ZAQUAN dan Ayu Raudhah lega hubungan mereka mendapat restu keluarga.
KUALA LUMPUR: Ketika kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Razak dihimpit dengan kemelut rumah tangga dengan aktres Rita Rudaini, pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan pasangannya, Ayu Raudhah akan menyimpulkan cinta mereka dengan perkahwinan pada 20 Januari depan.
Zaquan dan kekasih hatinya, Ayu Raudhah, 25, adik pelakon jelita Rozita Che Wan itu yang ditemui ketika hadir meraikan sambutan hari lahir ke-31 pelakon Fizz Fairuz di premis karaoke popular, Red Box, The Gardens, semalam berkata, majlis pernikahan itu akan diadakan kampung halaman Ayu di Taman PKNK, Alor Setar, Kedah.
Katanya, majlis persandingan akan diadakan keesokannya di lokasi yang sama, manakala majlis bertandang pula di Seremban, Negeri Sembilan pada 29 Januari.
Terdahulu, pada 17 Oktober lalu satu majlis merisik berlangsung di kediaman keluarga Ayu di Subang Jaya.
“Perkara ini sudah lama dibincang cuma masih belum mendapat kata putus mengenai tarikh sebenar hari bersejarah kami. Semuanya termaktub selepas majlis merisik yang dijalankan pada malam Ahad lalu. Keluarga hanya menyerah cincin tanda dan sekali gus dianggap sebagai majlis pertunangan.
“Bukan niat kami nak sorok majlis itu. Cuma kerana kontroversi yang baru saja terjadi membabitkan Rita Rudaini, keluarga dan Ayu Raudhah, kami memilih untuk membuatnya secara senyap. Saya lebih banyak merujuk keluarga dalam hal perkahwinan,” kata Zaquan.
Zaquan kini berehat enam bulan kerana kecederaan lutut. Kesempatan ini diambilnya untuk membuat persiapan kahwin. Pasangan ini menghadiri kursus kahwin awal Ramadan lalu.
“Selama ini hanya Ayu yang sering ditanya mengenai hal kahwin, tertanya juga kenapa hal yang sama tidak diajukan kepada saya. Tapi saya faham, Ayu artis sedangkan saya hanya ahli sukan. Saya harap segala persoalan selama ini terjawab.
“Alhamdulillah, saya yakin dia pilihan tepat untuk menjadi permaisuri hati. Kalau sudah jodoh, tak ke mana. Apa yang penting, hubungan kami mendapat restu keluarga. Moga apa yang dirancang akan berjalan lancar.
“Dia pandai mengambil hati orang tua saya dan lemah lembut. Malah di saat dia dikecam hebat gara-gara kontroversi rumah tangga abang saya dan isterinya, dia dilihat sangat tenang dan tidak banyak memberi komen untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan. Hakikatnya, keluarga saya lebih tahu apa yang terjadi,” katanya.
Ditanya mengenai wang hantaran, Zaquan tidak menyebutnya kerana mahu menghormati permintaan keluarga. Sementara itu, Ayu pula berkata dia lega dengan kenyataan yang dimulakan kekasihnya itu.
Katanya, ketika ini juga ramai pereka fesyen yang berminat mahu menaja perkahwinan mereka.
No comments:
Post a Comment