Sunday, October 24, 2010
Remaja mohon taraf warganegara
IPOH – Seorang peniaga runsing memikirkan masalah kewarganegaraan anaknya berusia 14 tahun yang didakwa ditarik balik setelah memperbaharui sijil kelahiran anaknya dua tahun lalu.
Chai Lean Fook, 48, berkata, anaknya, Chai Kah Weng dilahirkan di Malaysia pada tahun 1996 oleh isterinya yang berketurunan Siam dan memegang kerakyatan Thailand.
“Kami berkahwin pada tahun 1991 di Thailand setelah melalui upacara dan didaftarkan di Thailand.
“Bagaimanapun, kami tidak mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia kerana tidak mengetahui prosedur berkenaan perlu, namun selepas tiga tahun kelahiran Kah Weng, barulah kami mendaftarkan perkahwinan di Malaysia setelah dimaklumkan beberapa pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma DAP Perak di sini, semalam.
Lean Fook berkata, selepas Kah Weng dilahirkan di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, anak kedua daripada dua adik-beradik itu, diberikan sijil kelahiran.
Disebabkan masih berulang-alik ke Thailand, dia membuat pasport antarabangsa untuk anaknya yang berusia 15 hari dan maklumat dalam pasport ada tertera kerakyatan anaknya sebagai warganegara Malaysia.
“Pada waktu itu, tiada sebarang masalah timbul dan selang lima tahun kemudian saya terus memperbaharui pasport anak saya, sehingga usianya 10 tahun,” katanya.
Menurutnya, masalah mulai timbul apabila dia cuba memohon kad pengenalan anaknya ketika berusia 12 tahun, pada 2008.
Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memintanya membaharui sijil kelahiran Kah Weng yang berformat lama dan apabila siap dibaharui, tercatat pula taraf kewarganegaraan sebagai ‘Bukan Warganegara’.
“Saya amat terkejut dan bertanyakan tentang hal itu kepada pihak JPN tetapi saya diminta mengemukakan rayuan,” katanya.
Beliau berkata, bersandarkan arahan dia mengemukakan permohonan rayuan pada Jun 2008.
Katanya, selama dua tahun menantikan perkembangan permohonan kad pengenalan itu, akhirnya dia mengambil keputusan ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
“Hasilnya, saya menerima surat daripada pihak berkenaan yang menyatakan permohonan taraf kewarganegaraan anak saya ditolak.
“Surat berkenaan juga gagal menyatakan sebab ianya ditolak namun saya yakin ia mungkin disebabkan masalah kelewatan mendaftarkan perkahwinan kami di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kah Weng yang tidak fasih berbahasa Melayu, mengharapkan permohonan kewarganegaraannya diberi pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan urusan sehariannya terutama berkaitan persekolahan.
Labels:
warganegara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment