Wednesday, November 10, 2010

32 kesan tembakan pada kereta


SHAH ALAM 9 Nov. – Seorang ahli kimia mengesahkan terdapat 32 kesan kerosakan akibat tembakan pada kereta Proton Iswara putih yang dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, pada malam dia mati ditembak April lalu.
Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat, Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Shaari Desa berkata, sebanyak 24 daripadanya adalah kesan lubang peluru masuk manakala dua lagi kesan lekuk dan peluru keluar.
Menurut beliau, kesemua kesan itu sepadan dengan peluru kaliber 9 mm dengan kesan lubang pada cermin belakang kereta ditembak dari sudut 13 darjah yang konsisten dengan keadaan seseorang berdiri.
‘‘Kesan lubang peluru masuk ditemui pada cermin belakang menembusi bahagian tempat letak kepala kerusi pemandu, bahagian belakang kereta, sisi kanan belakang kereta, sisi kiri belakang, ekzos, tangki minyak, permukaan bunga tayar kanan dan kiri belakang.
‘‘Satu lekukan pada bilah rim dan satu kesan peluru keluar pada dasar rim roda belakang sebelah kanan. Enam lagi lubang kesan peluru di kedudukan lain di bawah kereta,’’ katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Beliau yang merupakan saksi pendakwa ke-24 berkata demikian sewaktu menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar semasa sesi pemeriksaan utama.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Hasil pemeriksaan, saksi turut menemui dua serpihan peluru di atas permaidani, empat serpihan peluru di bawah tayar ganti di dalam bonet belakang kereta serta satu lagi serpihan di dalam tayar belakang sebelah kiri.
Turut ditemui sebutir peluru berjaket kaliber 9 mm di dalam panel pintu belakang sebelah kanan dan sebutir peluru berjaket kaliber 9 mm di bawah tayar ganti di dalam bonet belakang kereta.
‘‘Tiada pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap kesemua peluru dan serpihan itu kerana ia telah rosak dan tidak sesuai untuk perbandingan.
‘‘Sisa serbuk senjata api juga tidak dikesan pada lubang tembakan di cermin belakang kereta. Dalam keadaan biasa, ia menunjukkan tembakan dilepaskan dalam jarak lebih dari tiga meter,’’ jelas beliau.
Menurut Shaari, beliau turut menemui kesan kerosakan akibat pelanggaran pada sisi kiri bahagian hadapan, penjuru hadapan sebelah kiri, bahagian hadapan dan sisi kanan belakang kereta dengan nombor pendaftaran BET 5023 itu.
Beliau berpendapat kesan bahagian hadapan konsisten berlanggar dengan pembahagi jalan atau longkang manakala kesan kemik dan cetakan berbentuk roda pada sisi kiri konsisten berlanggar dengan satu objek yang beroda.
‘‘Berdasarkan keputusan dan penemuan itu, saya berpendapat sisi bahagian hadapan kereta telah berlanggar dengan pokok, bahagian belakang sebelah kanan berlanggar dengan pengemudi motosikal dan penjuru sebelah kiri berlanggar dengan objek berwarna biru,’’ katanya.
Sementara itu, beliau turut membuat analisis terhadap 16 kelongsong peluru 9 mm, dua sub-mesingan Heckler & Koch MP5, dua kelopak peluru kosong dan 10 butir peluru hidup yang diserahkan oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Abd. Halim Ismail.
Bagaimanapun, empat serpihan peluru termasuk satu yang dibungkus dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, satu kelongsong, sebutir peluru berjaket kaliber 9 mm telah rosak teruk dan tidak sesuai untuk perbandingan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung esok.

No comments:

Post a Comment