Wednesday, November 10, 2010

Anwar, Azmin mesti berundur


Oleh Faiza Zainudin, Suzianah Jiffar dan Syed Azwan Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/11/10

MUSTAFFA Kamil   (kiri) dan   Zaid   menunjukkan memorandum mendesak  Anwar  dan   Mohamed Azmin   supaya berundur  pada sidang media di kediaman  Zaid di Kuala Lumpur,    semalam.
MUSTAFFA Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Mohamed Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam.
Setiausaha Perhubungan PKR Sabah turut sahkan letak jawatan

KUALA LUMPUR: Selepas membuat kejutan dengan meletak semua jawatannya dan menarik diri daripada bertanding Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), kelmarin, Datuk Zaid Ibrahim semalam secara terbuka pula menggesa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Mohamed Azmin Ali, berundur kerana kedua-duanya didakwa menjadi punca segala masalah dalam parti itu.Dalam pada itu, Setiausaha Perhubungan PKR Sabah, Mursalim Tanjul, turut mengesahkan meletak jawatannya yang dipegang sejak kira-kira setahun lalu.
Mursalim ketika dihubungi Berita Harian semalam, berkata pemberitahuan rasmi secara bertulis berhubung tindakannya itu akan dihantar ke pejabat Perhubungan PKR negeri dan Pusat dalam masa dua tiga hari lagi.

Ditanya sebab beliau meletak jawatan, Mursalim yang juga Ketua Cabang PKR Kudat memberi alasan mahu memberi tumpuan terhadap perniagaannya. Beliau bagaimanapun, mengakui campur tangan Anwar yang banyak berlaku sehingga ke peringkat akar umbi menyebabkan parti kini porak peranda.

“Bagi saya sebagai pemimpin dia (Anwar) kena ikhlas, jujur dan telus. 
Sekarang dia banyak campur tangan, itu yang berlaku, dia tidak seharusnya berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Zaid pada sidang media di kediamannya di sini, semalam, menjelaskan perubahan kepemimpinan dalam PKR perlu dilakukan segera bagi memastikan parti itu terus relevan dalam politik negara.

“Bukan kita tidak hargai pemimpin macam Anwar, kita hargai, tapi masa sudah berubah, masalah sekarang sudah berbeza. Jika PKR mahu bergerak ke depan, Anwar dan Azmin mesti pergi sebab mereka punca kepada semua masalah.

“Anwar banyak sangat isu peribadi, begitu juga Azmin, mereka perlu diketepikan. Kita tidak harus ada pemimpin yang lemah, yang asyik menyalahkan orang lain... 16 September (hasrat PKR ambil alih kerajaan) gagal, kita salahkan Barisan Nasional (BN). Kita tewas di Perak, kita juga salahkan BN, anggota Parlimen kita lompat parti, kita salahkan BN, sudah tiba masanya kita mesti akui kita lemah.

“Hakikatnya kita tidak dapat menganjurkan satu pemilihan parti yang baik, menunjukkan bahawa kita lemah. Saya mohon maaf kerana cakap ini, tetapi inilah masalahnya yang hendak saya luahkan.

“Saya harap penyelesaian baru yang lebih radikal ini dapat mengubah parti dalam memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Zaid berkata, PKR perlu membuat perubahan kepemimpinannya supaya dapat bergerak ke depan, terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Perlu ada fokus baru, kepemimpinan baru. Anwar sebagai ketua umum gagal memastikan parti bersatu. Pakatan Rakyat tidak akan berkembang dengan Anwar sebagai terajunya,” katanya.

Ditanya sama ada pemimpin pakatan pembangkang dapat menerima pandangannya supaya Anwar dan Azmin berundur, Zaid berkata:

“Saya cuma cakap bagi diri saya, saya tidak boleh kerja dalam sistem yang ada hari ini, ini tak ada kena mengena dengan PAS atau DAP, mereka mahu Anwar pimpin mereka, itu hak mereka, tapi saya cakap hak saya.

“Jika semua anggota parti tidak menerima apa yang saya suarakan ini, saya akan fikirkan pilihan lain,” katanya.

Ditanya siapa calon yang sesuai untuk menerajui PKR jika Anwar dan Azmin berundur, Zaid secara berseloroh berkata beliau boleh menjadi pemimpin yang baik, tetapi terpulang kepada rakyat menentukannya.

Zaid turut mendakwa Azmin tidak layak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR kerana terbabit dengan penipuan dan penyelewengan pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang sedang berlangsung.

“Saya fikir Azmin hendaklah dilucutkan kelayakannya (bertanding Timbalan Presiden PKR) kerana anda tidak boleh, kalau di cabang itu yang tidak memihak kepadanya, maka disuruh cabang itu bermesyuarat semula. Orang yang menyalahgunakan kuasa mesti dilucutkan kelayakan," katanya.

Ditanya mengenai tahap kepincangan dalam parti itu, khususnya pada pemilihan MPP, Zaid berkata: “Saya fikir ramai yang kecewa, bukan saya dan Mustaffa Kamil saja, semua calon yang disenaraikan dalam pemilihan kecewa, tapi apa yang mereka boleh lakukan.”

Zaid juga menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau menarik diri daripada bertanding dan melepaskan semua jawatan dalam PKR kerana tidak menerima undi yang banyak di Sabah. 

“Tak betul saya bangkitkan perkara ketidaktelusan ini selepas saya kalah undi di Sabah. Perkara ini saya bangkitkan lama dulu,” katanya.

Zaid turut menegaskan beliau tidak akan keluar daripada PKR dan bersedia menyerahkan bukti berhubung kepincangan dalam proses pemilihan seperti yang dicabar Anwar.

“Kalau ikut tidak perlu tunjuk bukti sebab semua tahu, ahli dan calon, tapi kalau saya kena buktikan, saya akan beri pada badan bebas, kalau itu tidak mencukupi terpulang sebab yang tidak puas hati ini bukan saya seorang, semua kecuali Azmin, takkan kita nak reka cerita, Anwar kena hadapi masalah ini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment