Saturday, November 20, 2010

Aduan banjir hanya sia-sia



YAN – Beberapa penduduk di Kampung Permatang Keramat dekat sini kecewa kerana masih belum ada tindakan dari pihak berkuasa untuk membetulkan sistem perparitan di kampung tersebut sehingga berlakunya banjir. 

Hujan lebat kira-kira jam 5 petang kelmarin menyebabkan beberapa rumah di kampung tersebut dinaiki air. 

Mangsa, Som Jaafar berkata, banjir telah berlaku di kawasan kampung ini sebanyak empat kali untuk tahun ini. 

“Kalau hujan lebat banjir pasti berlaku. Sudah banyak aduan dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab, namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kini. 

“Anak saya akan berkahwin Sabtu ini, tetapi persiapan pelamin terpaksa ditangguhkan berikutan banjir yang turut merosakkan beberapa perabot di rumah saya,” katanya 

Seorang penduduk, Osman Mat Arif berkata, aduan yang disampaikan kepada pihak yang berkuasa hanya sia-sia kerana mereka bersikap tidak ambil peduli. 

“Saya nak mengadu kepada siapa lagi. Saya betul-betul kecewa dengan pihak berkuasa kerana memandang remeh isu ini. Hanya Sinar Harian yang yang menjadi tempat untuk meluahkan perasaan,” katanya. 

Difahamkan, banjir berlaku apabila sebuah tembok dibina di hadapan kampung berkenaan tanpa menyediakan ruang khas untuk pengaliran air terus ke Terusan Wak Saman. 

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Permatang Keramat, Yaakup Lazim berkata, beliau tidak menyedari kewujudan tembok tersebut yang menyekat laluan air untuk ke Terusan Wak Saman. 

“Saya berjanji akan berusaha memastikan isu perparitan ini akan diselesaikan secepat yang mungkin kerana ia sering kali menyusahkan penduduk di kampung ini,” katanya. 

Terdahulu, laporan banjir di Kampung Permatang Keramat pernah disiarkan dalam Sinar Harian sebelum ini, namun masih tiada tindakan yang diambil.

No comments:

Post a Comment