Saturday, November 20, 2010

Lelaki lumpuh mohon bantuan



TAJUL Urus Md. Zain (kanan) melihat keadaan Zainon Ahmad yang lumpuh akibat kemalangan di Kampung Belakang Balai, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, semalam.


MERBOK 19 Nov. - Seorang bekas juruteknik kilang kayu dekat sini merayu bantuan orang ramai bagi mengubati penyakit lumpuhnya selepas terbabit dalam kemalangan pada Ogos lalu.
Zainon Ahmad, 40, dari Kampung Belakang Balai, Bukit Selambau, dekat sini turut memohon sekiranya ada pihak yang sudi membantu menampung kos perubatan dan keperluan asas yang semakin meningkat.
Lelaki yang masih bujang dan tinggal bersama ibu serta neneknya itu memberitahu, dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terjatuh motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Merbok pada 8 Ogos lalu.
"Selepas terjatuh pada hari berkenaan, badan saya terus kaku. Saya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, doktor kata bahagian belakang saya retak. Bagaimanapun, setelah dirujuk kepada pakar, saya diberitahu bahawa bahagian urat saraf tulang belakang mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain, di sini hari ini.
Zainon memberitahu, dia menjalani rawatan di HSAH lebih tiga bulan sebelum dibenarkan pulang dan kini berulang-alik untuk pemeriksaan.
"Saya kini tidak mampu berbuat apa-apa kerana lumpuh. Sedih juga kerana tidak dapat mencari rezeki untuk sara hidup emak dan nenek yang sudah uzur," katanya.
Menurutnya, dia membuat permohonan untuk dapatkan wang pampasan insurans.
"Bagaimanapun, sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan," katanya.
Sementara itu, ibunya, Khotijah Hassan, 60, berkata, dia dan keluarga kini hanya bergantung kepada anak-anaknya yang lain untuk menghulurkan bantuan kewangan.
"Sebahagian duit simpanan banyak dihabiskan untuk merawat Zainon," katanya.
Khotijah berkata, selain kos perubatan, dia terpaksa menghabiskan lebih RM300 sebulan untuk membeli lampin dan makanan Zainon.
"Dia tidak mampu buat apa-apa selain terlantar di atas katil. Selain, sakit-sakit sendi, dia juga mengalami masalah lelah dan kahak berlebihan.
"Kami terpaksa berikhtiar cari duit. Adakalanya, ahli keluarga terdekat juga menghulurkan bantuan," katanya.
Sementara itu, Tajul Urus yang juga Pegawai Penyelaras Parlimen Merbok berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyegerakan bantuan bulanan kepada keluarga tersebut.
Beliau juga merayu orang ramai atau sesiapa sahaja untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Zainon itu untuk mendapatkan rawatan secara berterusan di hospital.
"Di samping itu, saya juga berharap kes ini dapat dipanjangkan kepada pakar perubatan atau mereka yang mempunyai mahir dalam perubatan tradisional untuk tindakan lanjut," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Zainon sekeluarga boleh menghantarkan sumbangan mereka melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menggunakan akaun Zainon Ahmad iaitu 03-072-02-097040-0.
Mereka juga boleh menghubungi Khotijah di alamat: Kampung Belakang Balai, Bukit selambau, 08010 Sungai, Kedah atau menelefon di talian 012-5591412.

No comments:

Post a Comment