Saturday, November 13, 2010

Ayah pesan jangan tinggal solat, fokus hadapi SPM - Siti Najwa


Siti Najwa bersama Jasrizatul Akhmar dan Akmal Danish di pusara ayahnya, Mohd. Shamrin di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya, Selangor, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 12 Nov. - "Jangan tinggal solat dan belajar bersungguh-sungguh untuk hadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," demikian pesan terakhir penyanyi Mohd. Shamrin Abd. Samad kepada anak sulungnya, Siti Najwa, 17.
Shamrin, 45, dari kumpulan Fotograf meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, pada 6 petang semalam akibat sakit jantung.
Najwa berkata, walaupun dia dan ayahnya tinggal berasingan akibat perceraian dua orang tuanya itu, namun bapanya sering menghubunginya dan sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk berjaya dalam pelajaran.
Najwa yang tinggal bersama ibunya, Noreda Mohd. Razali, 45, di Taman Melawati berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan ayahnya kira-kira sebulan lepas dan ketika itu ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan pada kesihatan dirinya.
"Kira-kira tiga hari lepas saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ayah dan mengatakan yang saya merinduinya dan dia terus menghubungi saya.
"Dalam perbualan itu, ayah menasihatkan supaya saya fokus pada pelajaran dan SPM yang akan saya duduki tidak lama lagi dan berjanji akan membawa saya pergi bercuti selepas habis SPM," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Islam USJ 22 di Subang hari ini.
Isteri Allahyarham, Jasrizatul Akhmar Abu Samah, 29, berkata, pada mulanya beliau mendapat panggilan daripada anak saudaranya memaklumkan tentang kematian suaminya tetapi dia tidak mempercayainya kerana anak saudaranya itu suka bergurau.
"Bagaimanapun, saya terus menghubungi telefon bimbit suami tetapi rakannya menjawab dan menyuruh saya segera ke Hospital Pakar Islam Kampung Baru, namun tidak memberitahu tentang kematian suami," katanya.
Jasrizatul berkata setiba di hospital itu, beliau sekali lagi diberitahu mengenai kematian suaminya.
Beliau berkata, sebelum itu tiada sebarang perubahan atau petanda ditunjukkan Allahyarham tentang kesihatan dirinya.
"Apa yang saya tahu memang sejak kebelakangan ini suami saya tidak cukup rehat tetapi dia seorang yang sihat dan tiap-tiap petang beliau bersukan," katanya.
Jenazah Allahyarham Shamrin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang, selepas solat Jumaat.
Shamrin pernah popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an dan pernah merakamkan lagu duet bersama biduanita Datuk Sharifah Aini yang bertajuk Kamu Aku Satu. Shamrin telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada 1989 dan seterusnya melahirkan lima buah album yang terakhir bertajuk Juara Mimpi pada 1997. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment