SHAH ALAM 12 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda untuk berangkat ke majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor Isnin ini kerana murka dengan perbelanjaan tinggi untuk sambutan itu.
Hasrat baginda itu disampaikan menerusi satu kenyataan akhbar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud hari ini.
Menurut Ramli, baginda tidak memperkenankan penganjuran majlis sambutan berkenaan kerana ia melibatkan kos kewangan yang terlalu tinggi.
Katanya, baginda terkejut dan amat dukacita apabila dimaklumkan sambutan berkenaan yang turut melibatkan makan tengah hari di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur akan melibatkan perbelanjaan lebih daripada RM300,000 yang disifatkan sebagai pembaziran dan tidak berfaedah.
''Baginda berpendapat wang tersebut lebih berfaedah digunakan untuk pembelajaran dan kebajikan ataupun digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar daripada golongan yang tidak berkemampuan selaras dengan visi, misi dan objektif penubuhan Yayasan Selangor.
''Baginda juga telah dimaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merangkap Pengerusi Yayasan Selangor sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan juga kos yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Ramli, baginda turut menasihatkan Yayasan Selangor agar lebih prihatin dalam menguruskan kewangannya dan memberi fokus terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas penubuhannya.
Menurutnya, pada mulanya baginda berkenan berangkat ke majlis tersebut atas dasar Yayasan Selangor merupakan badan kebajikan kerajaan negeri yang bertanggungjawab memantapkan pendidikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan luar bandar di Selangor.
Katanya, baginda percaya keberangkatan ke majlis tersebut dapat menyuntik semangat warga kerja Yayasan Selangor dan juga menghargai jasa mereka dalam membantu meningkatkan pendidikan anak-anak yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
Selain itu, baginda juga berharap dapat bermesra dengan anak-anak di bawah kelolaan Yayasan Selangor dan memberi motivasi agar mereka dapat belajar dengan lebih gigih.
''Pada asalnya majlis yang dicadangkan adalah majlis makan malam. Namun baginda berpendapat majlis makan malam akan menelan belanja tinggi dan menitahkan Yayasan Selangor mengadakan majlis makan tengah hari sahaja.
''Bagaimanapun, baginda terkejut dan amat dukacita apabila dimaklumkan kos perbelanjaan untuk majlis sambutan ulang tahun itu amat tinggi," jelasnya.
Dalam pada itu Ramli memberitahu, Menteri Besar juga telah menyarankan supaya majlis itu dibatalkan.
No comments:
Post a Comment