Thursday, November 11, 2010

Desak Anwar: Mohd. Asri tidak tarik balik mahupun menyesal


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Walaupun dikritik oleh kem pakatan pembangkang kerana mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada politik, bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegaskan, beliau tidak pernah menarik balik kenyataan itu.
Katanya, beliau juga tidak pernah menyesal membuat desakan sedemikian terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Katanya, jika Anwar terasa hati dengan pendiriannya itu, beliau memohon maaf kerana ia adalah adab pergaulan.
"Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan 'dinosaur-dinosaur' politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara.
"Surat terbuka saya jelas dalam hal ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau berkecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini," katanya dalam kenyataan ringkas daripada Tokyo, Jepun yang disiarkan laman webnya,www.drmaza.com.
Portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam melaporkan Mohd. Asri memohon maaf atas desakannya sebelum ini melalui artikel bertajuk Asri mohon maaf cadang Anwar 'bersara'.
Pada 1 November lalu, Mohd. Asri yang merupakan ulama non-partisan melalui laman webnya berkata, sudah tiba masa bagi Anwar bersara kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin tidak seimbang.
Katanya, Anwar perlu menerima hakikat bahawa zamannya akan menyusur pergi dan tidak mungkin generasi baru akan terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama.
Berikutan reaksi penyokong pakatan pembangkang yang berang dengan kenyataan itu, Mohd. Asri pada 6 November lalu sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Anwar perlu berundur daripada dunia politik bagi mengelakkan pembangkang hilang momentum sokongan.
Sambil meminta Anwar berlapang dada dengan pandangan tersebut, Mohd. Asri berkata, jika tidak berlaku perubahan, momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti pula sukar untuk dicapai.
Semalam, Mohd. Asri membuat satu lagi kenyataan bagi menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau bersekongkol dengan Utusan Malaysia untuk menyerangnya.
Jelas bekas mufti yang pernah menegur kepimpinan kerajaan sebelum ini, Utusan Malaysiahanya memetik daripada blog beliau dan wartawannya tidak berhubung secara langsung dengannya.

No comments:

Post a Comment