KOTA BHARU 10 Nov. - Kerajaan Pas Kelantan akan menganjurkan Program Kahwin Perdana 2010 dijadual 25 Disember ini untuk membantu belia dan beliawanis serta golongan kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga, sekali gus mencegah masalah gejala sosial membabitkan golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, program itu juga diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran mempercepatkan perkahwinan di samping mendidik mereka tentang tanggungjawab yang bakal dipikul oleh pasangan suami isteri.
Beliau berkata, antara keistimewaan program itu, kerajaan negeri akan menanggung mas kahwin bagi pengantin lelaki berjumlah RM1,000, selain mengadakan jamuan pengantin, akad nikah serentak dan khutbah nikah yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, kriteria calon pasangan yang layak untuk menyertai program tersebut adalah mereka terdiri daripada pasangan yang miskin atau berpendapatan rendah, golongan mualaf, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan penuntut universiti.
"Kerajaan negeri berasa bertanggungjawab untuk membantu mempercepatkan jodoh pasangan belia dan beliawanis Kelantan dengan menghulurkan sedikit bantuan," katanya.
No comments:
Post a Comment