Thursday, November 11, 2010

18 jemaah haji Malaysia meninggal di Mekah


SEPANG 10 Nov. - Seramai 18 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada musim haji ini sehingga semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah itu meliputi lapan jemaah lelaki dan lima jemaah perempuan.
"Antara punca kematian adalah disebabkan oleh penyakit radang paru-paru dan lemah jantung.
"Maklumat mengenai kematian para jemaah haji yang meninggal dunia telah pun dimaklumkan kepada keluarga masing-masing dan takziah saya ucapkan kepada waris jenazah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perjalanan ibadah haji tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Bilangan rakyat Malaysia yang mengerjakan haji pada tahun ini adalah seramai 26,000 orang.
Sementara itu, Jamil Khir berkata, bilangan jemaah haji yang sedang menerima rawatan kerana mempunyai masalah kesihatan kini mencecah kepada 88 orang.
"Seramai 41 jemaah lelaki dan 27 jemaah perempuan kini dirawat di Hospital Tabung Haji.
"Di hospital Arab Saudi pula seramai 20 jemaah haji kita sedang menerima rawatan dan mereka terdiri daripada 12 lelaki dan lapan perempuan," katanya.
Beliau menjelaskan, kebanyakan daripada mereka mengalami masalah radang paru-paru, lemah jantung dan akibat dehidrasi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada kali ini kerajaan Arab Saudi menetapkan peraturan baru mengkehendaki semua jemaah haji termasuk petugas haji menaiki bas untuk ke Mekah.
"Begitu juga dengan pergerakan ke Arafah mesti menggunakan kenderaan besar dengan muatan tidak kurang daripada 25 penumpang," tambahnya.
Beliau berkata, peraturan baru itu bertujuan mengelakkan kesesakan apabila para jemaah menggunakan kenderaan yang lebih kecil.

No comments:

Post a Comment