Thursday, November 11, 2010

Kecoh nasi goreng sosej babi


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Isu nasi goreng berlaukkan sosej babi yang dikatakan dibawa oleh anak seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) beragama Islam di Sarawak menjadi isu hangat sehingga menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menjelaskan, murid itu, Basil anak Baginda adalah beragama Islam berdasarkan agama ayahnya, Baginda @ Norazman Abdullah yang pernah menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum 1999.
Menurutnya, beliau secara peribadi mengenali Baginda yang menjadi salah seorang saksi dalam perbicaraan kes melibatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
"Saya terlibat sebagai peguam dalam kes itu dan mengendalikan secara langsung saksi terlibat. Saya tahu dia seorang beragama Islam, jadi ini bermakna anaknya adalah Islam, emak dia (Angela Jabing) saya tidak tahu agamanya.
"Persoalan yang perlu diperjelaskan adakah tindakan guru merotan murid itu salah iaitu apabila mempertahankan anak seorang Islam daripada membawa babi yang diharamkan Islam sebagai bekal ke sekolah," katanya semasa membahaskan Bajet 2011 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 15 Oktober, Basil dikatakan dirotan sebanyak 10 kali oleh guru Sekolah Kebangsaan St. Thomas kerana membawa bekal nasi goreng berlaukkan sosej babi.
Isu itu sebenarnya terlebih dahulu dibangkitkan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) semalam yang mempertikaikan kurikulum Biro Tata Negara yang didakwanya telah melahirkan guru rasis dengan mengaitkan kes nasi goreng berlaukkan sosej babi itu.
Pendedahan Zulkifli mengenai agama Baginda telah menyebabkan Chieng Jen tidak berpuas hati dan bangkit mencelah mendakwa maklumat yang diperoleh itu tidak tepat dengan menegaskan bahawa Basil bukan beragama Islam.
Malah katanya, guru terbabit yang merotan Basil juga semalam telah meminta maaf sekali gus menjelaskan status agama murid itu.
Ketika ini, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) mencelah dengan mengatakan isu itu sebenarnya telah cuba dipolitikkan oleh pembangkang.
Ia kemudiannya disahut oleh Zulkifli dengan mengatakan: "Inilah pembangkang, seperti biasa apa sahaja akan dipolitikkan, saya bercakap berdasarkan pada fakta."
Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) pula dilihat memperkatakan sesuatu kepada Zulkifli tanpa bangun meminta izin dan tindakannya itu ditegur oleh Zulkifli: "Nak cakap bangunlah, jangan buat macam dalam zoo, saya bagi laluan. Adakah kamu sokong anak Islam bawa babi ke sekolah?"
Ahli Parlimen Kuala Selangor yang tidak berpuas hati dengan sindiran itu telah meminta Zulkifli membuka kopiah putih yang dipakainya sambil mengatakan masa 10 minit yang diberi tidak sesuai untuk membahaskan isu nasi goreng itu.
Zulkifli berkata, jika Chieng Jen yang mempertikaikan isu itu, beliau boleh maafkan kerana dia tidak beragama Islam yang sudah pasti melihatnya dari kaca mata agama yang dianutinya.
"Tetapi apabila ia dipertikaikan oleh Kuala Selangor (Dzulkefly), saya hairan dan ini sudah jadi masalah besar kerana dia beragama Islam," katanya yang terus membangkitkan kemarahan Dzulkefly.
Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara Dzulkefly dan Zulkifli, walaupun berkali-kali ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hingga menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu diarah keluar dewan.
Pada sesi sebelah petang, Chieng Jen mendedahkan surat beranak Basil tidak tertera agama yang dianutinya dan ia telah menarik perhatian Zulkifli dengan mengatakan ia membawa kepada isu lebih besar iaitu pemurtadan Baginda dan ia wajib disiasat sehingga ke akar umbi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan memaklumkan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat status agama kedua beranak itu.
"Kita kena siasat status agama kanak-kanak itu kerana walaupun Kuching (Chieng Jen) kata dia tiada agama (surat beranak) tetapi mengikut keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan apabila ayahnya memeluk agama Islam, maka anaknya akan turut beragama Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment