Tuesday, November 16, 2010

Zaid sah tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR: Bekas ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan, di sini, semalam, beliau akan meninggalkan parti itu.
Teka-teki mengenai pengundurannya daripada parti itu terjawab apabila beliau membuat penjelasan menerusi blognya.
Dalam pos terbarunya, Zaid menjelaskan pengundurannya daripada parti itu akan dianggap selesai, sebaik saja beliau menyerahkan surat rasmi kepada sekretariat parti.

“Saya merujuk kepada tajuk akhbar berbahasa Inggeris hari ini (semalam). Adalah benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan surat pengunduran rasmi daripada parti.


“Semuanya akan dijelaskan menerusi siaran akhbar Jumaat ini,” katanya.

Akhbar itu melaporkan bahawa Zaid, yang menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, memutuskan keluar parti, atas sebab tidak dapat menerima perkembangan dalam parti itu akhir-akhir ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan pada 8 November lalu bahawa beliau menarik diri dari bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Zaid berkata dalam blognya bahawa kepemimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden, Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan kerana beliau mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

Zaid kini dipercayai berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu menghormati keputusan Zaid dan hasratnya menubuhkan sebuah parti politik.
Saifuddin berkata, walaupun PKR kehilangan seorang pejuang reformis, keputusan Zaid tidak akan memberikan impak negatif kepada parti itu.

“Saya doakan dia (Zaid) ‘best of luck’. Kami masih belum lagi terima surat keluar parti daripada beliau,” kata Saifuddin yang enggan mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ditanya mengenai penubuhan sebuah ‘parti Keadilan baru’ oleh Zaid, Saifuddin menyifatkan ia perkembangan baik kepada politik negara.

“Ia meriah. Tetapi yang saya tahu, sudah ada parti politik baru ditubuhkan dan ada pemilihan untuk jawatan dalam parti itu...saya tahu Zaid sudahpun meletakkan orang-orangnya dalam parti baru itu,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment