Wednesday, December 22, 2010

27 Januari sebutan semula kes Siti Aishah saman Uncle Seekers





2010/12/22

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes saman bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman terhadap pakar paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas kerana bertindak melanggar maklumat sulit beliau. 

Hakim Prasad Abraham menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas pendengaran 'interparte'.
Beliau membuat keputusan itu bagi memberi masa kepada Jabatan Insolvensi melantik peguam untuk defendan pertama iaitu Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers, memandangkan dia telah diisytiharkan muflis.
Selain itu, defendan kedua kes berkenaan iaitu Syed Hussein Al-Attas, bapa kepada Syed Abdullah, juga diarahkan untuk melantik peguam bagi kes berkenaan. 

Siti Aishah diwakili peguam T. Gunaseelan, Anthony M.Sebastian dan Ikmal Hisan Idris. 

Pada 3 Disember lalu, Siti Aishah memfailkan saman terhadap Syed Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini kerana telah bertindak melanggar maklumat sulit beliau selain menamakan Syed Hussein sebagai defendan kedua. 

Dalam saman itu, Siti Aishah selaku plaintif, memohon perintah injuksi bagi melarang Syed Abdullah dan Syed Hussein untuk tidak mendedahkan sama ada secara lisan atau dalam blog, surat khabar atau wakil-wakil mereka sebarang maklumat mengenai beliau. 
Siti Aishah berkata pada Jun lalu, beliau meminta defendan pertama untuk membantu merawat masalah tekanan emosi yang dialaminya selepas defendan pertama mendakwa boleh mengubati masalah itu. 

Beliau berkata antara persetujuan di antara beliau dan Syed Abdullah ialah Syed Abdullah akan dibayar untuk perkhidmatannya dan bersetuju untuk merahsiakan segala maklumat dan komunikasi membabitkan Siti Aishah sepanjang proses rawatan berlangsung dan tidak mengeksplotasi dirinya dalam sebarang bentuk. 

Bagaimanapun pada November lalu, Syed Abdullah dalam blognya mendedahkan apa yang dikatakan sebagai komunikasi di antaranya dengan plaintif. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment