SHAH ALAM 21 Dis. - Bapa mertua Raisuddin Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bahawa beliau tidak merestui perkahwinan penyanyi dan pelakon itu dengan anaknya berikutan perbezaan umur yang amat ketara antara pasangan tersebut.
Suberi Abdullah, 50, berkata, beliau juga mempunyai dua pilihan yang lebih sesuai termasuk anak lelaki Raisuddin sendiri iaitu Hamzah sebagai calon suami untuk Siti Fatimah.
''Saya tidak setuju dengan perkahwinan itu sebab perbezaan umur 31 tahun. Anak saya baru berusia 19 tahun (ketika bernikah) dan masih anak dara sedangkan Raisuddin berusia 50 tahun serta sudah ada isteri.
''Saya juga ada dua calon suami untuk Siti Fatimah iaitu anak Raisuddin sendiri dan anak seorang doktor yang dipanggil along,'' katanya semasa disoal oleh peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.
Suberi memberi keterangan bagi permohonan untuk membubarkan perkahwinan Raisuddin dan Siti Fatimah secara faraq.
Menurut Suberi, kedua-dua defendan bukan sahaja tidak pernah meminta izin malah langsung tidak memaklumkan hasrat mereka untuk bernikah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007.
Beliau yang masih sihat serta tidak pernah hilang kelayakan sebagai wali hanya mengetahui tentang pernikahan itu selepas Raisuddin dan Siti Fatimah kembali dari sempadan Thailand itu.
''Saya tidak pernah mewakilkan wali kepada sesiapa untuk menikahkan Siti Fatimah. Saya juga tidak pernah dihubungi melalui telefon bimbit atau telefon rumah untuk dimaklumkan tentang pernikahan itu.
''Saya langsung tidak tahu mereka ke Songkhla. Siti Fatimah sedang menuntut di Unisel (Universiti Industri Selangor) dan dia sepatutnya balik ke rumah pada masa itu,'' jelas beliau.
Pernikahan Raisuddin, 53, yang juga penyanyi era 80-an dengan Siti Fatimah, 22, di Songkhla pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Beliau membuat permohonan tersebut dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka yang kini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah yang sama.
Pasangan yang telah diperintah tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan itu diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Zainur Rasyid Hassin bersambung pada 23 Februari ini.
-utusan
No comments:
Post a Comment