Tuesday, December 21, 2010

'Gadai nyawa'



Oleh Johary Indan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/21

 PENDUDUK Kampung Sungai Damit terpaksa  menggunakan jambatan gantung yang sudah usang dan berbahaya.
PENDUDUK Kampung Sungai Damit terpaksa menggunakan jambatan gantung yang sudah usang dan berbahaya.
Jambatan gantung berusia 60 tahun usang, reput 

TAMPARULI: Lebih 100 penduduk Kampung Sungai Damit, dekat sini terpaksa menggadaikan nyawa setiap kali menggunakan jambatan gantung yang sudah usang dan berbahaya untuk ke Klinik Desa Bundung, di sini sejak tiga tahun lalu.
Lebih membimbangkan, jambatan berkenaan turut digunakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Damit dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Damit serta pekerja tapak semaian getah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), di Kampung Bundung.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Damit, Ramlee Mat, berkata penduduk tiada pilihan lain, selain terpaksa menggunakan kemudahan berusia 60 tahun itu sebagai laluan untuk ke klinik berkenaan. 

"Jika kami ingin ke Klinik Kesihatan Tamparuli atau Hospital Tuaran, kami terpaksa menggunakan kenderaan dengan jarak perjalanan 25 kilometer (km). 

"Berbanding jika kami ke Klinik Desa Bundung, kami hanya perlu berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam. 

Sebahagian besar struktur utama seperti lantai jambatan dibina pada tahun 1950-an itu sudah reput dan patah, menyebabkan ia mengancam keselamatan penduduk. 
Ramlee berkata, bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, JKKK kampung itu sudah beberapa kali mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya jambatan berkenaan dibaiki atau diganti. 

Bagaimanapun, katanya, usaha berkenaan masih belum berhasil berikutan tiada sesiapa pun dari pihak terbabit meninjau keadaan jambatan berkenaan. 

"Seorang murid pernah terjatuh ke dalam sungai ketika melalui jambatan ini sewaktu pulang dari sekolah baru-baru ini. Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung. 

"Kami tidak mahu kejadian ini berulang lagi. Kami tidak mahu ada penduduk maut akibat lemas," katanya. 

Beliau berkata, sebelum ini ada tiga jambatan gantung menyeberangi Sungai Damit tetapi dua daripadanya sudah dihanyutkan arus deras ketika banjir besar lebih 10 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment