Tuesday, December 21, 2010

Lima beranak hidup melarat



POKOK MANGGA - Kemiskinan menyebabkan seorang ibu tunggal bersama empat anaknya di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang, di sini terpaksa ‘ikat perut’ setiap hari.

Tindakan itu menyebabkan lima beranak itu sering mengalami sakit perut disebabkan terpaksa berlapar.

Ibu tunggal berkenaan, Aisah Saadun, 45, berkata kehidupan mereka sekeluarga susah selepas arwah suaminya, Kahar Jamaah, meninggal dunia kira-kira 16 tahun lalu.

Menurutnya, dia dan empat anaknya yang kini berusia 18 hingga 24 tahun terpaksa menumpang di rumah jiran sebelum menyewa rumah yang didudukinya kini.

“Pernah dalam tempoh dua atau tiga hari, kami anak beranak tidak menjamah walau seulas nasi pun dan terpaksa menagih sedikit makanan di gerai berdekatan, atau dibantu jiran tetangga yang bersimpati.

“Sewa rumah sebanyak RM150 sebulan juga sudah tertunggak sehingga mencecah tiga bulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, dekat sini semalam.

Aisah berkata, dia bernasib baik kerana pemilik rumah sewa berkenaan, Said Aim, 80, memahami masalah mereka dan tidak pernah mendesak membayar tunggakan.

Malah, katanya, Said sering memberi makanan untuknya, selain meminjamkan sedikit wang jika dia memerlukan.

Menurutnya, untuk mengurangkan bebanan keluarga, dia terpaksa bekerja di kebun sayur milik seorang Tionghua di Klebang.

Aishah yang berasal dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia dan berstatus penduduk tetap (PR) di negara ini berkata, salah seorang anak perempuannya sudah berkahwin.

Manakala, katanya, tiga daripada mereka masih belum mendirikan rumahtangga dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Semua anak saya warganegara Malaysia, tetapi mereka tidak pernah bersekolah akibat kemiskinan hidup.

“Dua anak lelaki yang masih bujang berusia 18 dan 24 tahun pula melakukan pekerjaan sampingan sekadar mengisi perut mereka sendiri sahaja dan itu pun kalau ada kerja,” katanya.

Sementara itu, Said berkata, dia sangat bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan menyebabkan dia tidak sampai hati meminta tunggakan sewa.

“Keluarga ini miskin dan saya pun tak tergamak memaksa dia bayar sewa rumah. Kalau dia pinjam duit saya pun, saya tak sampai hati minta balik kerana tahu kesusahan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment