JEMPOL 22 Dis. – Apa cerita di kawasan Serampang Indah, dekat sini sehingga penduduknya marah-marah dan tidak puas hati?
‘‘Bila naik kereta atau motosikal, kami seperti mengelak ‘bom jangka’, bila-bila masa sahaja boleh terbabas masuk lubang. Sudah lama jalan di sini rosak teruk,” kata penduduk.
Memang ada sebab mengapa penduduk di situ melenting, apatah lagi dengan kedudukannya yang sedikit terpencil, Serampang Indah rupanya tidak seindah nama yang diberikan.
Tinjauan Utusan Malaysia di jalan utama ke Serampang Indah, penuh dengan ‘berliku’, apa tidaknya lubang-lubang besar menanti untuk membenamkan tayar kereta anda.
Menurut penduduk, J. Satianadan, 56, dia sudah tidak berdaya membuat aduan lagi kerana dakwanya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
‘‘Sudah berlaku sejak enam tahun lalu. Oleh kerana Serampang Indah ini terpencil, maka tiada siapa pun ingin ambil tahu,” katanya di sini hari ini.
Kawasan penempatan penduduk di Serampang Indah ini terletak kira-kira 20 kilometer dari sini dan majoriti penduduknya kaum India dan selebihnya 20 peratus merupakan orang Melayu dan Cina.
Rata-rata penduduk di situ merupakan penoreh getah dan laluan utama ke situ ketika ini 60 peratus mengalami kerosakan teruk dipercayai berpunca akibat kenderaan berat yang berulang-alik di situ.
‘‘Inilah laluan utama kami setiap hari dan semuanya terpaksa kami harungi.
‘‘Keadaan lebih teruk apabila berlaku hujan dan lubang yang dalam itu mula dipenuhi air,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Chong Kai Ming, 28, amat berharap agar pihak berkuasa datang melihat keadaan di situ dan segera membantu penduduk di sini.
‘‘Ada yang tidak sanggup datang sini selepas mengetahui masalah jalan di sini.
‘‘Jalan ini hanya untuk kegunaan lori yang beratnya lima tan ke bawah.
‘‘Kita amat berharap supaya ada satu arahan, mahupun penghadang yang melarang lori melebihi berat berkenaan menggunakan laluan ini kerana ia akan menjadikan kawasan itu bertambah parah,” katanya.
-utusan
No comments:
Post a Comment