Thursday, December 23, 2010
14 keluarga peneroka diusir
PUSING – Seramai 14 penduduk asal Kampung Pinang di sini, menuntut agar Kerajaan Negeri campur tangan dan memberikan hak kepada mereka terhadap tanah yang diterokai nenek moyang mereka sejak 90 tahun lalu.
Kumpulan itu mendakwa mereka adalah peneroka tanah di kawasan itu sejak 1920 lalu, merayu agar Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah yang timbul selain memberi peluang mendapatkan hak sebagai peneroka.
Wakil jurucakap penduduk, Timbalan Pengerusi Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Saras berkata, penduduk kecewa apabila mendakwa Rabu lalu mereka dipaksa ejen pemaju untuk menerima pampasan dan jika tidak tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka.
Menurutnya, penduduk mendakwa beberapa ejen pemaju dilihat memasuki kawasan perumahan mereka selain memantau kawasan itu bagi meneruskan projek yang bakal dibangunkan.
“Jadi, kami hadir ke Balai Polis Pusing untuk membuat laporan kerana bimbang berlaku apa-apa kerosakan terhadap harta serta kediaman.
“Penduduk mahu pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang mengugut selain mencerobohi kawasan rumah tanpa kebenaran mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis.
Saras berkata, penduduk memohon jasa baik dan ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengekalkan kawasan perumahan Kampung Pinang serta mengeluarkan hak milik tanah kepada mereka.
“Nenek moyang mereka ini adalah antara golongan terawal membuka perkampungan ini sebagai pendulang bijih timah malah pendudukan mereka diperakui Town Council Pusing pada 1976 dan Home Guard Headquarters Pusing turut mengeluarkan sijil Register of Occupants.
“Mereka juga mendapat Letter of Naturalization yang memperakui pendudukan mereka pada 1956 dan pada 1976 pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah pernah membuat bancian untuk memberi hak milik,” katanya.
Beliau berkata, demi memastikan nasib penduduk terbela, jawatankuasa penduduk menyerahkan memorandum dan beberapa surat kepada pihak menteri besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Menteri Besar, Datuk Chang Ko Youn pada 23 Jun lalu.
Labels:
usir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment