Muhammad Fisal Adnan, 51, berkata, sudah lima kali pertukaran tarikh perbicaraan tidak dimaklumkan kepadanya selaku defendan iaitu pada 27 Oktober, 16 November, 22 Disember tahun lalu serta 17 Februari dan 29 Mac tahun ini.
Katanya, apa yang lebih dikesalkan ialah semasa dia hadir di Mahkamah Tinggi Syariah 6 pada 29 Mac lalu, dia dimaklumkan bahawa tarikh perbicaraannya telah dipercepatkan seminggu.
"Semua pertukaran tarikh berkenaan tidak dimaklumkan kepada saya. Saya hanya diberitahu apabila hadir di mahkamah. Ekoran itu, saya hilang hak sebagai defendan," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Muhammad Fisal yang tidak diwakili oleh peguam berkata, dia diberitahu bahawa semua pertukaran tarikh itu dipohon oleh peguam bekas isterinya.
"Saya kesal dengan sikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab pihak yang mengendalikan hal-hal berkaitan agama ini," katanya.
Menurutnya, dia kehilangan banyak masa berhadapan dengan kes itu, malah terpaksa meninggalkan anak bongsunya berusia lapan tahun di rumah tanpa penjagaan.
"Namun, kes saya tidak juga dapat diselesaikan sehingga kini dan menuntut saya meluangkan lebih banyak masa," katanya.
Dia berkata, pada mulanya, dia enggan mendedahkan perkara itu di akhbar tetapi terpaksa melakukannya kerana percaya ramai lagi menghadapi masalah seperti itu.
Berikutan itu, katanya, dia kini sedang membawa perkara tersebut ke peringkat lebih tinggi termasuk ke pengetahuan Ketua Hakim Syarie untuk mendapatkan pembelaan.
No comments:
Post a Comment