Saturday, December 4, 2010

Kos hidupan di Singapura naik




2010/12/04


Mata wang kukuh, kenaikan harga jadikannya paling mahal di Asia


SINGAPURA: Kos hidup di republik ini terus meningkat dan kini menjadi lokasi kelapan paling mahal di Asia, meningkat daripada kedudukan kesembilan tahun lalu. 

Mata wang Singapura yang lebih kukuh berbanding mata wang utama serta kenaikan harga menyumbang kepada situasi itu dan menjadikannya antara 10 lokasi utama bagi kos kehidupan tinggi di Asia tahun lalu, menurut tinjauan kos kehidupan syarikat antarabangsa ECA semalam.
Menurut tinjauan ECA itu, jurang kos kehidupan di Singapura semakin dekat dengan kos kehidupan di Hong Kong.
Dua tahun lalu, ada perbezaan 15 peratus (antara Singapura) dengan Hong Kong. Ia merosot kepada tujuh peratus setahun lalu dan kini perbezaannya hanya dua peratus. Tambahan, Singapura kini menduduki tangga lebih tinggi daripada Beijing, kata kenyataan itu. 

Hong Kong menduduki tempat keenam sementara Beijing menduduki tempat kesembilan di Asia. 

Tinjauan itu juga menunjukkan secara global, kedudukan Singapura meningkat daripada 79 kepada 42. 

Ia juga menunjukkan kos kehidupan di Singapura lebih mahal berbanding Tengah London dan sejak beberapa tahun lalu, kedudukan Singapura meningkat melebihi lokasi di Zon Eropah, dengan mata wang di sana termasuk Munich dan Rome menjadi lemah. 
Pengarah Serantau Asia ECA International, Lee Quane, berkata kedudukan Singapura yang semakin meningkat dalam kos kehidupan itu, berikutan kedudukan mata wangnya yang semakin kukuh, mempunyai dua kesan. 

Bagi syarikat yang membawa pekerja berpengalaman ke Singapura, kos bagi satu tugas akan meningkat kerana elaun tinggi diperlukan bagi mengekalkan kuasa membeli pekerja. 

Sebaliknya, syarikat yang menghantar pekerjanya ke luar Singapura boleh mendapatkan elaun kos kehidupan lebih rendah dan masih dapat menyediakan bayaran mencukupi bagi mengekalkan taraf kehidupan baik, tambahnya. 

Tinjauan itu juga mendapati Tokyo, ibu kota Jepun, adalah lokasi teratas kos kehidupan. 

Sementara itu, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan besar dalam kos kehidupan di rantau Asia daripada kedudukannya di tangga ke-36 setahun lalu, kepada tangga ke-31 tahun ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment