Monday, December 6, 2010

Perairan Pulau Tenggol berpuaka





DUNGUN – Genap sebulan hari ini tragedi bot karam yang hampir meragut nyawa berlaku berhampiran Pulau Tenggol di perairan Dungun, semalam satu lagi tragedi sama terjadi menyebabkan 10 nelayan diambang maut. 

Bagaimanapun tragedi kali ini berlaku pada lokasi tiga batu nautika berbanding sebelum ini pada kedudukan 16 batu nautika arah Selatan dari pulau itu. 

Ada nelayan menganggap pulau itu berpuaka dan dahagakan nyawa memandangkan tragedi sebelumnya gagal meragut nyawa mangsa walaupun ada kanak-kanak berusia empat tahun yang terlibat. 

Pada kejadian kali ini, empat nelayan asing warga Vietnam terpaksa bertarung nyawa dengan berenang di tengah laut dalam keadaan ombak besar menuju ke daratan setelah bot nelayan yang mereka naiki karam berdekatan Pulau Nyireh, kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Tenggol, dekat sini, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat di Bilik Gerakan kira-kira jam 11 pagi semalam memaklumkan ada empat nelayan warga asing berjaya menyelamatkan diri dengan mendarat di Pulau Tenggol setelah bot nelayan yang mereka naiki karam berdekatan Pulau Nyireh.

Dahlan berkata, bot nelayan yang memuatkan 10 awak-awak itu dipercayai karam sebaik melanggar bongkah batu di lokasi terbabit.

Katanya, empat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang mengikut arus ke arah Pulau Tenggol, bagaimanapun enam lagi rakannya masih dikhuatiri hilang.

“Sebaik mendapat maklumat berkaitan kejadian bot karam itu, operasi mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih dipercayai hilang itu dilancarkan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin yang berpengkalan di Kemaman dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM).

“Empat mangsa yang selamat itu merupakan warga asing keturunan Vietnam manakala bot nelayan yang karam itu difahamkan milik warga tempatan berdasarkan nombor pendaftarannya,” kata Dahlan.
Menurut Dahlan, lokasi terbabit jarang digunakan nelayan tempatan kerana terdapat banyak batu di dasar laut dan boleh membayakan keselamatan sehingga boleh menyebabkan kejadian bot karam, terutama dalam keadaan cuaca buruk pada musim tengkujuh.

Sinar Harian dimaklumkan, enam lagi mangsa ditemui penduduk Pulau Tenggol masih hidup dan sedang berpaut pada batu berhampiran pulau tersebut pada jam 2 petang.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuantan dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan, Pahang.

No comments:

Post a Comment