Monday, December 6, 2010

Siasat kegiatan pelacuran mahasiswa - Khaled


06/12/2010 5:07pm

TELUK INTAN: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini meminta polis dan agensi penguatkuasa lain supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dipercayai mereka yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu hanya segelintir sahaja daripada kira-kira sejuta pelajar yang berada di IPT.
Katanya, kegiatan pelacuran merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang tetapi kementerian dan pihak universiti tidak mempunyai badan penguatkuasa untuk menyiasat pergerakan pelajar dan juga mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Teluk Intan bernilai RM15 juta di sini hari ini, beliau berkata pihak berkuasa yang bertanggungjawab perlu bertindak tegas membanteras kegiatan itu.
"Kementerian dan pihak universiti hanya boleh memberi khidmat kaunseling untuk mencari punca kenapa mereka terjebak dalam kegiatan pelacuran,” katanya sambil menambah bahawa sehingga kini, kementerian belum menerima laporan yang membabitkan pelajar IPT dikenakan tindakan undang-undang kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang mendakwa ada pelajar IPT di Sabah yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka seperti yang didakwa Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr Jaina Sintian, Khamis lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment